Berita

Belum ada keputusan kebenaran penggambaran filem, drama

PENGAMBARAN filem, drama dan pengiklanan selepas Aidilfitri. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 Mei 2020 8:32 AM MYT

PUTRAJAYA – Kajian secara terperinci perlu dilakukan sebelum membenarkan aktiviti penggambaran filem dan drama kembali beroperasi seperti biasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah membentangkan cadangan aktiviti tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

“Kalau dari segi lakonan mungkin ada berlaku kes tiada penjarakan sosial ketika penggambaran.

“Ini disebabkan penggambaran bukan hanya melibatkan pelakon sahaja namun kru yang ramai.

“Mungkin selepas raya nanti kita boleh mempertimbangkan. Setakat ini belum buat keputusan dengan melakukan kajian secara terperinci dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan cadangan KKMM berkaitan kebenaran semula aktiviti penggambaran di negara ini.

Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan mengetahui ramai warga industri tersebut mempunyai masalah pendapatan dan sebagainya susulan pelaksanaan PKP sebelum ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas