Berita

KHALID (tengah) pada sidang akhbar di Wisma YWP, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Selasa lalu. Hadir sama Nor Hisham (tiga dari kiri) dan Zaizalnizam (kanan).

- Diterbit 14 Jun 2019 5:58 AM MYT

Khalid Samad mahu yayasan berkenaan terus jadi platfrom kebajikan

Tidak tunduk desakan tutup YWP

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menegaskan pihaknya tidak akan bertindak menutup Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memandangkan badan tersebut menjadi platform untuk melaksanakan aktiviti kebajikan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1986.

Sebaliknya beliau mempersoalkan mengapa YWP menjadi sasaran pihak yang mendesak agar ia ditutup sedangkan kedudukannya sama seperti yayasan di negeri lain.

Malah Khalid yang juga Pengerusi YWP berkata, kedudukannya sebagai Pengerusi YWP tidak membabitkan sebarang kepentingan sebaliknya ia termaktub dalam Memorandum dan Perkara Persatuan YWP yang menyebut ”Lembaga Pengarah mesti memiliki seorang pengerusi iaitu Menteri Wilayah Persekutuan.”

”Kalau tutup YWP, apa lagi yang penduduk di sini akan dapat kerana ia satu-satunya platform untuk membuat program kebajikan di Wilayah Persekutuan.

”Bagi saya tutup dahulu yayasan milik negeri yang lain sebelum desak tutup YWP,” katanya pada sidang akhbar di Wisma YWP di Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) yayasan tersebut.

YWP telah ditubuhkan pada 9 April 1986 di bawah Akta Syarikat 1957 sebagai sebuah syarikat berhad dan memulakan operasi pada tahun 1996.

Khalid mengakui kemungkinan sebelum ini ada wujud salah guna, tetapi pihaknya telah mengambil tindakan membetulkan keadaan selepas menerajui kementerian berkenaan dan kini bersikap terbuka untuk mendedahkan perbelanjaan serta kedudukan kewangan YWP.

Beliau menyatakan, YWP harus mencari sumber dana dari pelbagai cara termasuk perniagaan dan pelaburan tetapi bukanlah untuk kepentingan peribadi ALPA.

”Segala keuntungan yang diperoleh melalui urusan perniagaannya tidak memberikan sebarang pulangan kepada ALPA YWP.

“Tugas kami adalah untuk membantu warga kota yang memerlukan dan bertindak sebagai badan kebajikan untuk warga Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas