Berita

Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM44 bilion sokong usahawan PMKS

KERAJAAN akan memperhebat usaha mendorong PMKS untuk meningkatkan tahap daya saing melalui peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Oktober 2023 9:39 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan memperuntukan sejumlah RM2.4 bilion untuk menyokong perusahaan tempatan yang memanfaatkan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan 2.4 bilion ringgit di bawah agensi seperti BNM, BSN dan TEKUN.

“RM1.4 bilion ringgit di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

“Selain itu, RM330 juta ringgit di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dan RM30 juta ringgit daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 di parlimen hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak 720 juta ringgit dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan.

Menurut Perdana Menteri, di bawah BNM juga, sejumlah RM8 bilion ringgit dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM600 juta ringgit dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan,” katanya.

Ujar Anwar, bagi tahun 2024, sebanyak RM600 juta ringgit disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Katanya, setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100 ribu PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion ringgit.

“Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion ringgit,” katanya.

Perdana Menteri berkata Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu 1 juta peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan dan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26 peratus pada tahun 2022.

“Bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta ringgit,” katanya.

Kata Anwar lagi, pihaknya memperuntukkan RM100 juta ringgit untuk dana pembiayaan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membantu lebih banyak koperasi.

Menurut Perdana Menteri, pengusaha PMKS hendaklah segera beradaptasi dengan teknologi dan pendigitalan produk dan perkhidmatan mereka bagi menembusi pasaran yang lebih luas.

Kerajaan akan memperhebat usaha mendorong PMKS untuk meningkatkan tahap daya saing melalui peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan.

“Untuk maksud itu, kerajaan akan peruntukkan RM100 juta ringgit dalam bentuk geran pendigitalan sehingga 5,000 ringgit untuk manfaat lebih 20 ribu usahawan PKS dan pengusaha mikro yang boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak RM900 juta ringgit daripada dana pinjaman di bawah BNM disediakan untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan.

“Kerajaan juga menyediakan RM40 juta ringgit bagi melaksanakan Program Shop Malaysia Online untuk menggalakkan peniaga kecil khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah,” katanya.

Ujar beliau, peranan Pusat Ekonomi Digital di setiap DUN akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan disediakan RM25 juta ringgit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas