Berita

Zulkifli lancar Takwim Hijrah

ZULKIFLI (tengah) menyentuh bebola kaca sebagai simbolik pelancaran Takwim Hijrah di Kolej Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini hari ini.
- Diterbit 27 Ogos 2020 11:02 AM MYT

UMAT Islam di negara ini digalakkan memiliki takwim hijrah masing-masing sebagai rujukan kepada tarikh-tarikh penting di dalam kalendar Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, segala ibadah yang berkaitan dengan Islam mesti dirujuk kepada taqwim hijrah yang berkait rapat dengan kehidupan umat islam.

“Takwim ini amat penting dalam menetukan hari-hari kebesaran Islam, pengiraan zakat, iddah dan umur baligh.

“Ia juga memainkan peranan amat kritikal dalam pengurusan kehidupan manusia yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan pentadbiran kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Takwim Hijrah anjuran Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman.

Takwim Hijrah itu dilancarkan dengan kerjasama I Quest Training & Consultancy mempunyai simbol unik bagi menunjukkan tarikh penting dalam kalendar umat Islam, maklumat hari sesuai melakukan puasa sunat dan membaca al-Quran, selain hari perayaan, cuti umum dan persekolahan. -AZLAN ZAMBERY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas