Berita

Zazali dilantik Pengerusi Suruhanjaya Koperasi

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menyerahkan watikah pelantikan sebagai Pengerusi Eksekutif baharu Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Zazali berkuat kuasa 1 Disember.
- Diterbit 10 Disember 2021 3:02 AM MYT

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan pelantikan Zazali Haron, 59, sebagai Pengerusi Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Disember lalu.

SKM memaklumkan, pelantikan itu sejajar dengan perkhidmatan Zazali selama 36 tahun di beberapa suruhanjaya koperasi negeri dan bahagian di ibu pejabat sejak ia dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi.

“Zazali merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM sejak 21 Mei 2020 dan telah berkhidmat selama 36 tahun di beberapa SKM Negeri dan Bahagian di Ibu Pejabat sejak di Jabatan Pembangunan Koperasi lagi.

“Beliau juga merupakan lulusan Master in Trade and Development, Eastern Michigan University,” katanya.

Sementara itu, Rusli Jaafar, 58, pula yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Eksekutif dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif yang baharu.

“Rusli Jaafar yang berasal dari Kuala Selangor merupakan lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) di UKM dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah SKM Negeri Selangor pada tahun 2017 hingga 2019,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Majlis penyerahan watikah pelantikan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar sendiri di Menara Bank Rakyat pada Selasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas