Berita

Guna konsep ‘in-situ’, Shahidan komited atasi miskin tegar Kuala Lumpur

SHAHIDAN menggoreng ikan bersama isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin (dua kiri) selepas merasmikan Program Dapur Bandaraya hari ini.
- Diterbit 9 Disember 2021 10:58 AM MYT

KERAJAAN akan terus membantu golongan miskin tegar di bandaraya Kuala Lumpur, untuk keluar daripada kesukaran hidup yang dialami termasuk mampu menjana pendapatan sendiri dalam tempoh enam bulan.

Difahamkan, terdapat kira-kira 16,000 orang miskin di Wilayah Persekutuan dan daripada jumlah itu 3,000 adalah miskin tegar yang mana pendapatan mereka adalah di bawah paras kemiskinan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, selain menyediakan pelbagai program bagi memastikan kelompok berkenaan dapat menjana pendapatan sendiri, bilangan council home di Kuala Lumpur juga akan ditambah pada tahun hadapan.

“Dalam tempoh enam bulan mereka (kelompok miskin tegar) mestilah mencari jalan untuk mendapatkan sumber pendapatan kerana kalau terus beri begitu saja tanpa usaha, kadar miskin tegar tidak akan berkurang.

“Dalam 3,800 hingga 4,000 unit lagi (dibina) pada tahun depan, bagi mereka yang tidak mampu beli rumah. Mungkin selepas setahun mereka didiami (council home) boleh mampu beli rumah.

“Permohonan juga tinggi, council home kita (sedia ada) boleh tampung sebahagian daripada permintaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Dapur Bandaraya@PA/PPR dan Warga PA/PPR Sentiasa Di Hati di Perumahan Awam Seri Tioman 1, Taman Melati Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pembinaan akan dibuat secara ‘in-situ’ iaitu bangunan dibina di lokasi yang ditetapkan dan penghuninya adalah dalam kalangan warga setempat manakala penduduk dari kawasan lain hanya boleh menghuninya jika terdapat lebihan unit.

“Contohnya, tiga unit bangunan dibina di Kuchai, kita akan pastikan semua warga di situ selesai dan kemudian baru warga lain akan masuk. Jika tidak, masalah miskin tegar tidak akan selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, rumah yang dibina juga akan dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu kurang daripada RM200,000.

Terdahulu, mengulas tentang Program Dapur Bandaraya@PA/PPR dan Warga PA/PPR Sentiasa Di Hati, ujar beliau, seramai 74,000 orang telah menerima manfaat sepanjang program berkenaan dilancarkan.

Tambah beliau, sebanyak 52,000 pek makanan telah diedarkan dalam tempoh 100 hari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas