MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustaffa menyambut baik pengumuman Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
yang menunjukkan usaha berterusan untuk memajukan Labuan.
Kata Zaliha, ia juga merupakan usaha yang jelas serta komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merangka usaha bagi memakmurkan lagi pulau tersebut.
“Sebagaimana dinyatakan semasa lawatan saya sebelum ini, penyelesaian kepada isu infrastruktur asas di Wilayah Persekutuan Labuan adalah fokus utama Kerajaan
Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, kata Zaliha dengan pemantauan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta usaha sama antara PETRONAS dan beberapa agensi kerajaan Sabah yang berkaitan, pihaknya mengharapkan pelaksanaan projek menaik taraf paip dan cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu dapat dilaksanakan dengan baik.
Ujar Zaliha lagi, pembangunan
dan penambahbaikan infrastruktur asas di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan
semestinya akan merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta menarik pelaburan luar.
Terdahulu menerusi lawatan kerja ke Labuan, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata beliau ditugaskan mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan bekalan elektrik dan air yang selama ini membelenggu penduduk pulau itu.
Labuan turut dicadang menjadi kawasan angkat Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan komited menyelesaikan isu berkaitan.
Selain itu, beliau berkata pembangunan di seluruh pulau juga penting dan mencadangkan supaya sebuah bandar baharu dibuka di Labuan bertujuan bukan sahaja meningkatkan populasi, tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan.
Katanya lagi, pihak berkepentingan juga perlu mencari pendekatan dan kaedah berbeza dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinanti-nantikan sekian lama serta dapat melihat potensi terhadap ekonomi Labuan.-WILAYAHKU