Berita

Menteri ingatkan jangan terpedaya dengan pakej haji palsu

- Diterbit 21 Januari 2024 9:52 PM MYT

JUMLAH pengunjung ke Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali kedua Pengelola Jemaah Haji Musim Haji 1445H/2024M yang berakhir petang ini, merekodkan angka kehadiran luar jangkaan.

Karnival tiga hari itu mencatatkan kunjungan lebih 20,000 orang sejak hari pertama dibuka pada Jumaat lalu hingga petang ini.

Sebelum ini, Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya menjangkakan kira-kira 10,000 hadir pada karnival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick, dekat sini.

Orang ramai yang datang berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pendaftaran haji dan umrah, selain meninjau pakej pelancongan menarik yang ditawarkan 25 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang mengambil bahagian sepanjang karnival.

Menurut ikon MIMM Travel & Tours Sdn. Bhd., PU Hafiz, syarikat itu telah menerima pendaftaran seramai 500 bakal haji yang akan menunaikan ibadah haji musim ini menerusi pakej swasta.

Katanya, lebih 4,000 orang mengunjungi gerai syarikat itu dari Jumaat, Sabtu dan penutupnya petang ini dengan kebanyakannya berpuas hati pakej disediakan.

“Banyak tawaran yang syarikat MIMM Travel & Tours Sdn. Bhd. tawarkan. Antaranya semua pakej hotel lima bintang di Mekah dan Madinah dengan harga berpatutan.

“Syarikat juga menawarkan pakej tinggal di hotel Aziziyah dan pakej menaiki Speed Haramain Train serta banyak lagi,” katanya Ketika ditemui di gerai MIMM nombor 34, 35 dan 36 di sini, hari ini.

Karnival itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar semalam.

Dalam ucapannya, Na’im mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) selaku penganjur bersama karnival.

Beliau berharap, TH dan semua syarikat PJH akan terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji negara, tidak kira pakej apa yang dipilih kerana mereka semua adalah tetamu Allah yang patut dimuliakan serta santuni dengan penuh integriti dan itqan.

Na’im juga minta TH terus agresif dalam memberi peringatan secara berkala supaya orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji yang meragukan.

Sementara itu, MIMM Travel & Tours Sdn. Bhd, antara 25 PJH yang berdaftar dengan TH untuk mengurus jemaah haji musim ini turut serta dalam karnival berkenaan.

MIMM dan 24 syarikat PJH, termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) anak syarikat TH telah melalui proses penilaian yang ketat dan memenuhi syarat ditetapkan sebelum diberikan lesen.

MIMM Travel & Tours Sdn. Bhd mengucapkan tahniah kepada bakal jemaah yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji musim ini.

“Semoga perjalanan ke hadapan penuh dengan keberkatan, keimanan dan kebahagiaan. Semoga juga setiap langkah yang diambil membawa keberuntungan dan kebaikan dalam perjalanan hidup,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas