Selebriti

Zaki Yamani enggan dibayangi bapa

ZAKI Yamani
- Diterbit 19 Januari 2024 11:20 AM MYT

PENYANYI remaja yang sedang meningkat naik, Zaki Yamani mengakui ramai yang mengatakan dirinya klon kepada bapanya, Datuk Jamal Abdillah.

Mana tidaknya, vokal Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 17, semakin hari kedengaran sama seperti bapanya.

“Sejujurnya saya sebenarnya terkejut apabila lama-kelamaan suara mirip ayah. Kalau nak diikutkan, saya mula menyanyi sejak sekolah rendah dan dalam masa yang sama, tak sedar pun suara bertukar sikit-sikit.

“Apabila ramai yang cakap suara dah macam ayah, ada betulnya juga. Saya pun baru perasan kerana ia berlaku secara semula jadi. Tak sedar pun. Paling ketara perkara ini sejak menyertai rancangan Famili Duo bersama abang, Yamani Abdillah.

“Kalau peminat kata klon Jamal Abdillah, saya tak boleh buat apa. Sememangnya saya anak beliau dan bakat yang diwarisi ini juga daripada beliau,” ujarnya.

Kata Zaki, selama ini dia hanya membawa imej sendiri kerana ingin dikenali di atas bakat yang dikurniakan tanpa menggunakan populariti bapa tersayang.

“Saya menerima macam-macam komen daripada netizen, ada yang cakap suara saya sekarang tak kena dengan muka. Suara besar, muka masih nampak budak-budak. Iyalah, saya pun masih bersekolah.

“Mereka yang mengikuti perkembangan saya dari awal terutamanya media, pasti tahu asalnya suara saya lain. Namun mereka yang baru mengenali saya, pasti akan cakap suara saya macam Jamal Abdillah.

“Apabila bersembang dengan ayah dan abang, suara kami bergelak ketawa pun sama. Bukan hanya suara sama, masa bila hendak ketawa pun sama juga,” katanya berseloroh.

Dia juga mengaku berusaha untuk mempelbagaikan genre nyanyian seperti dangdut dan lagu rancak yang memerlukan tarian moden kerana mahu dikenali dengan identiti sendiri selain penyanyi serba boleh.

Dalam perkembangan lain, Zaki Yamani baru sahaja muncul dengan lagu ciptaannya Mati Rasa yang mengisahkan seorang lelaki yang berkawan dengan seorang gadis dan lama-kelamaan mereka saling menyukai antara satu sama lain.

“Namun, gadis tersebut akhirnya menjauhkan diri dan senyap tanpa berita. Rupa-rupanya dia sakit. Nak tahu lebih lanjut, kena tonton video muziknya di laman YouTube,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas