Wawancara

Zahir fokus keselesaan penduduk

ZAHIR Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju
- Diterbit 19 Januari 2024 9:00 AM MYT

AHLI Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan terus cekal menempuh segala cabaran yang mendatang dalam menjalankan tugas membantu rakyat terutamanya di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, semangat beliau sentiasa membara serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Segala permasalahan ditangani dengan tenang tanpa keluh-kesah dan beliau dilihat antara Ahli Parlimen yang sentiasa mendengar dan dekat di hati rakyat berbilang kaum.

Wilayahku berpeluang menemu bual beliau bagi mengetahui lebih lanjut pengalaman dan cabaran yang ditempuhi selain agenda yang dirancang untuk tahun 2024.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar Ahli Parlimen Wangsa Maju?

Di Wangsa Maju, terdapat kira-kira 120,000 penduduk pelbagai kaum dan agama di mana perlu saya jaga dan prihatin terhadap nasib mereka. Sudah semestinya banyak cabaran yang dihadapi terutamanya melibatkan isu-isu bandar seperti masalah parkir, kesesakan lalu lintas, penjaja dan pelbagai lagi.

Justeru itu, pelbagai langkah telah diambil bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan dalam menyelesaikan masalah-masalah ini daripada terus berleluasa.

Antara fokus utama dan perancangan dalam perkhidmatan YB?

Fokus utama saya ialah perancangan jangka panjang dengan kelangsungan hidup penduduk sekitar Wangsa Maju terutamanya keselesaan penduduk setempat seperti mengurangkan kesesakan, pembangunan yang banyak, malah terus bersama membantu kerajaan bagi menghapuskan atau mengurangkan kemiskinan tegar yang terdapat di sini.

Bercakap tentang soal miskin tegar, berapa banyakkah jumlah yang terdapat di Wangsa Maju dan apakah yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

Setakat data yang pihak kami kumpulkan terdapat 124 isi rumah yang dilabel miskin tegar, pelbagai bantuan juga telah disalurkan bagi memastikan mereka terus mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain itu, pihak kita juga ada bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memberi peluang kepada golongan ini menambah pendapatan mereka supaya mampu mengorak langkah ke hadapan sekali gus mengubah nasib kehidupan mereka sendiri.

Lambakan projek perumahan, kesesakan lalu lintas antara masalah utama yang dihadapi penduduk, apakah pendekatan atau jalan penyelesaian yang dibuat pihak YB?

Ini adalah isu berpanjangan yang dihadapi di segenap bandar-bandar besar. Bayangkanlah kalau setiap taman perumahan mempunyai kepadatan 2,000 unit rumah ditambah pula dengan dua hingga tiga biji kereta setiap unit, itu yang menyebabkan banyak kesesakan berlaku.

Perkara ini, sering menjadi topik perbualan di antara saya bersama persatuan-persatuan penduduk, memang sukar untuk mencari jalan pintas, namun antara penyelesaian yang boleh kita laksanakan ialah penggunaan pengangkutan awam.

Selain itu, kita cuba mencari kata sepakat bersama penduduk untuk mengelakkan mereka daripada meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan yang kadangkala menghalang pergerakan lalu lintas dengan lebih lancar seperti parkir di kawasan padang.

Kita juga ada membuat sesi townhall bersama wakil-wakil penduduk sebanyak tiga kali setahun bersama agensi-agensi kerajaan bagi mendeNgar keluhan atau isu-isu yang dibangkitkan.

Bagaimana YB hadapi isu penduduk Kampung Setia Jaya?

Ia adalah satu isu yang besar dan serius, apatah lagi apabila melibatkan penduduk kehilangan tempat tinggal mereka sendiri. Banyak keluhan pihak kami terima daripada penduduk di situ untuk menyelesaikan permasalahan mereka.
Hal ini melibatkan banyak pihak serta proses yang memerlukan badan perundangan untuk membantu situasi tersebut. Keputusan daripada pihak mahkamah juga telah dilaksanakan baru-baru ini.

Perbincangan juga turut diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

Syukur pihak Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) juga memberikan kerjasama dengan membenarkan atau memberikan jaminan mereka boleh tinggal di situ sehingga isu penempatan diselesaikan.

Apakah antara sumbangan yang dilaksanakan terhadap penduduk Wangsa Maju?

Bercakap mengenai sumbangan serta penghargaan pula, suka untuk saya menceritakan, pihak saya sentiasa bekerja keras dalam memberikan sumbangan serta perkhidmatan terbaik kepada penduduk di sini.

Malahan, sebanyak 21 buah sekolah (10 sekolah rendah, 11 sekolah menengah) yang terdapat di sini, kesemuanya diberikan sumbangan sekurang-kurangnya sebanyak RM10,000 bagi menampung perbelanjaan mereka, bantu melengkapkan barangan sekolah dan sebagainya.

Tidak terkecuali untuk belia di mana mereka juga merupakan masa depan negara, banyak program yang dilaksanakan bagi membantu golongan ini terus aktif baik dari segi pendidikan mahupun kewangan.

Selain itu, golongan warga emas turut dibantu dengan sumbangan barangan keperluan, kewangan selain yang masih mempunyai kudrat pihak kami memberi platform untuk menambah pendapatan dengan menjayakan kebun bandar atau pertanian.

Apakah peranan YB dalam membantu usaha kerajaan?

Sebagai wakil rakyat memang ia bukan satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan namun saya bersama pasukan termasuk agensi-agensi kerajaan sering bertindak mengikut arahan.

Antaranya seperti membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar bandar, program-program persekolahan, jalan raya mahupun pembangunan-pembangunan di kawasan ini.

Syukur semua gerak kerja berjalan dengan lancar setakat ini dan banyak lagi perancangan yang telah diatur bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kesemua penduduk Wangsa Maju.

Apakah harapan YB untuk tahun ini dan di masa hadapan?

Besar harapan saya untuk terus memajukan serta memberikan keselesaan kepada penduduk Wangsa Maju, tidak semua masalah mampu kita selesaikan dalam sekelip mata namun, saya berjanji akan memberikan solusi yang terbaik kepada semua pihak.

Di dalam dunia serba moden ini juga memberikan peluang yang mudah untuk menghubungkan saya dengan penduduk di sini untuk terus bekerjasama ke arah mengharmonikan permuafakatan semua pihak yang menetap di sini.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas