Wawancara

Adam Adli tekad perjuang nasib anak muda

- Diterbit 3 Februari 2024 8:30 AM MYT

SEPANJANG setahun bergelar Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dilihat proaktif menggalas tugas berat dalam mengembalikan semula sokongan anak muda yang agak kritikal terhadap kerajaan sebelum ini.

Meskipun menjengah dunia pentadbiran pada penggal pertama, kemunculan beliau memberi nafas baharu terutama mengembleng tenaga dalam usaha menyahut rungutan anak-anak muda yang memerlukan pembelaan.

Figura yang berpengalaman sebagai aktivis pelajar dan rakyat ini menyatakan kesediaan menjadi tali penghubung antara anak muda dengan kerajaan. Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY bersama dengan Jurufoto, Muhammad Syuqqree Dain serta Juruvideo, Ahmad Hasif Halimi yakin bahawa bakat dan potensi anak muda ini dapat digilap sesuai dengan pendekatan Malaysia Madani.

Sepanjang lebih satu tahun sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen, apakah dapatan YB mengenai keseluruhan pembangunan sukan dan belia negara kita?

Untuk tempoh satu tahun Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi saya masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan.

Menggalas tanggungjawab ini bukan mudah kerana ia adalah amanah yang dipikul. Pertama sekali ia telah membuka banyak ruang kepada pelbagai pihak yang datang untuk memberikan input, informasi dan bimbingan yang sedikit sebanyak saya dapat belajar terutama melibatkan portfolio di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ia agak mencabar dan menarik yang saya kira dalam tempoh setahun ini, banyak yang boleh dijadikan bekalan untuk tahun-tahun akan datang dan ada banyak lagi usaha yang digerakkan melibatkan lebih banyak stakeholder.

Bagaimana YB melihat potensi pembangunan sukan kita?

Pembangunan sukan dan belia dalam negara ini agak unik. Pertamanya kita kena bahagikan kepada dua perkara berbeza. Kita banyak berurusan dengan persatuan-persatuan sukan dan matlamatnya jelas iaitu untuk melihat pencapaian negara dalam temasya atau kejohanan antarabangsa.

Bagi memastikan adanya program-program yang berbentuk sokongan kepada atlet yang mewakili negara baik dari segi latihan, pendedahan dan penyertaan dalam kejohanan yang berbeza, kita perlu bijak dalam mengagihkan dana dan sumber. KBS turut mempunyai program pembangunan sukan dari peringkat akar umbi. Menerusi dasar pada tahun 2023, kita wujudkan Dana Sukan Komuniti yang membuka peluang kepada penggiat sukan di peringkat tersebut untuk mendapatkan dana bagi menganjurkan kegiatan sukan sama ada pertandingan mahupun aktiviti sukan pilihan masing-masing.

Bagaimana YB melihat pembangunan belia yang boleh dikatakan hampir 40 peratus daripada populasi negara kita?

Belia pula berbeza. Ia kumpulan yang sangat luas dan Malaysia telah mencatatkan lebih sembilan juta golongan belia dalam kalangan umur 15 hingga 30 tahun. Itupun segmen umur yang saya kira dalamnya ada jurang generasi dan setiap mereka ada keperluan dan kepentingan yang berbeza.

Kita kena faham program yang dibentuk pula tidak boleh menggunakan kaedah one size for all dan tidak boleh pukul rata kerana ia berbeza. Kadar umur 15 tahun programnya perlu lebih kepada bimbingan dan latihan, 20 tahun ke atas adalah pembangunan belia dan pada umur 30 tahun ini, kita membuka peluang mengasah kepimpinan dan keupayaan mereka. Ini menuntut kita menyemak semula semua jenis program yang diwujudkan di bawah KBS.

Sokongan orang muda terhadap kerajaan sangat kritikal dan diterjemahkan melalui peti undi, bagaimana KBS mendepani situasi ini supaya golongan ini lunak kepada kerajaan?

Kita semua pernah muda, kita sendiri dan sesiapa pun mempunyai pengalaman dari segi politik sama ada menyokong kerajaan atau pembangkang. Dari sudut permukaan, selalunya persepsi golongan belia sukar untuk bersama kerajaan dan cenderung untuk membangkang.

Ini adalah soal jangkaan. Kehendak dan harapan yang diletakkan kepada satu-satu situasi yang mereka hendak lihat dasar yang bagaimana disediakan oleh kerajaan terhadap mereka.
Sebab itu bagi KBS, yang paling utama kita perlu terus menyantuni dan memastikan golongan-golongan yang memerlukan sama ada yang berada di dalam sistem dan luar sistem. Kita perlu cari jalan dengan kumpulkan suara mereka dan terjemahkan untuk menjadi dasar dan polisi.

Isu melibatkan dasar gaji yang munasabah, jaminan pekerjaan dan peluang-peluang lain sering ditimbulkan, bagaimana KBS dapat membantu mereka untuk meraih perkara tersebut?

Paling utama adalah bagaimana untuk menzahirkan perkara yang kita letak menjadi harapan oleh golongan muda. Pelaksanaan kepada satu-satu dasar itu juga turut mengambil masa yang agak lama untuk kita dapatkan hasil. Sebab itu kita perlu bimbing dan beri kesedaran tentang pelaksanaan dasar tersebut yang perlu diuruskan.

Ada banyak isu merangkumi golongan muda yang tidak boleh diletak ketepi. Di saat kita boleh rancang program berbentuk pendidikan, peluang keusahawanan dan pekerjaan, isu ini masih berkait dengan keupayaan mereka untuk pendapatan yang stabil, jaminan masa hadapan termasuklah perumahan dan pekerjaan.

Ia menuntut seluruh kerajaan bekerjasama dengan baik dan dasar-dasar yang tidak hanya terarah kepada sesuatu kelompok sebaliknya harus memikirkan juga kelangsungan satu-satu dasar yang diperkenalkan itu hanya memberikan keuntungan kepada satu-satu kelompok sahaja atau boleh menyediakan ruang dan masa depan yang lebih selesa kepada belia.

Misalnya masalah gaji, kita tidak boleh membiarkan mereka bergantung kepada dasar gaji minimum semata-mata sebaliknya sebagai tanggungjawab kolektif, kita telah mulakan beberapa dasar seperti Dasar Gaji Progresif yang diperkenalkan dan ini adalah perkara-perkara yang bukan hanya memberi kelebihan kepada belia sedia ada sebaliknya belia yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Apakah cabaran YB untuk mengatasi masalah golongan belia yang keciciran dalam pendidikan dan juga alam pekerjaan?

Golongan ini kita sebutkan sebagai not in education, not in training (NENT), selalunya mereka ini setelah tamat persekolahan memilih untuk tidak menyambung pengajian dan memilih untuk bekerja sendiri dan kalaupun masuk ke alam pekerjaan ramai yang memilih untuk menyertai sektor ekonomi gig. Berbanding dengan golongan belia lain yang menyambung pengajian dan memasuki alam pekerjaan mengikut aturan biasa.

Tetapi cabaran utama adalah untuk bagaimana meyakinkan mereka untuk menyertai laluan kerjaya yang mempunyai pertumbuhan kerjaya (career growth) dan akhirnya berjaya mengharungi alam pekerjaan yang mempunyai laluan kerjaya yang cerah.

Oleh sebab itu, kita mengalu-alukan penyertaan golongan ini untuk menyertai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ada pelbagai cabang dan ia dapat membantu mereka meningkatkan jati diri dan juga mempunyai laluan kerjaya yang baik.

YB ada menyentuh mengenai rungutan pekerja ekonomi gig mengenai imbuhan yang diterima dan KBS pernah menawarkan latihan susulan bagi reskilling untuk membantu mereka, adakah tawaran tersebut disambut?

Di KBS, kami ada menyediakan latihan kemahiran melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang mempunyai tiga matlamat utama iaitu Keutamaan kepada Belia, Pendedahan Keusahawanan dan Pembangunan Bina Insan.

ILKBS ini bertujuan untuk menyediakan peluang latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada belia lepasan sekolah mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma dan Diploma Lanjutan. Sehingga hari ini, terdapat 22 ILKBS di serata Malaysia yang merangkumi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).

Konsep latihan yang diberikan kepada pelajar terbahagi kepada 80 peratus latihan dan 20 peratus kepimpinan, keagamaan dan kerohanian, keusahawanan serta sukan dan rekreasi. Antara kemudahan yang disediakan di ILKBS adalah elaun, penginapan dan makanan serta fasiliti yang moden seperti perpustakaan, kemudahan sukan dan riadah, makmal serta bengkel yang lengkap.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas