Berita

YWP anjur Seminar Kecemerlangan SPM percuma

KHALID dan Zaizalnizam bergambar bersama peserta Seminar Kecemerlangan SPM di Labuan.
- Diterbit 13 September 2019 6:33 AM MYT

LABUAN – Seramai 1,200 orang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh Wilayah Persekutuan menyertai Seminar Kecemerlangan SPM yang diadakan secara percuma oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Pada 6 September lalu, 400 orang pelajar yang terpilih dari 12 buah sekolah menengah sekitar Labuan telah mengikuti seminar tersebut di Labuan International School.

YWP dalam satu kenyataan memberitahu, Seminar Kecemerlangan SPM tersebut merupakan siri pertama yang diadakan pada tahun ini manakala siri kedua pula akan diadakan di Kuala Lumpur pada minggu hadapan dan siri ketiga di Putrajaya pada minggu berikutnya.

KHALID (tengah) dan Zaizalnizam (10 berdiri dari kanan) bergambar bersama sebahagian peserta Seminar Kecemerlangan SPM di Labuan.

“Program hari ini dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad merangkap Pengerusi YWP.

“Objektif utamanya adalah untuk berkongsi cara-cara bagaimana menjawab soalan peperiksaan SPM oleh jurulatih utama (JU) kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 yang ada di sini yang dipilih oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Labuan dan sekaligus dapat membantu mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, antara usaha yang dilaksanakan bagi mencapai objektif berkenaan adalah kerjasama antara YWP dengan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), Putrajaya dan Labuan dengan membawa para JU dari setiap Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, kesemua JU yang dilantik terdiri daripada guru-guru pakar, cemerlang serta berpengalaman dalam mata pelajaran masing-masing ke lokasi-lokasi seminar.

“YWP juga menampung kos ketiga-tiga seminar ini sebanyak RM200,000. Bajet pendidikan pada tahun ini adalah sebanyak RM7.6 juta termasuk segala jenis bantuan persekolahan dari darjah 1 hingga ke universiti,  pemberian bantuan awal dan biasiswa-biasiswa serta bantuan kepada sekolah-sekolah dan para pendidik,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas