Berita

Ramai masih menanti nilai harga tanah

KAMPUNG BARU
ZULKURNAIN menyampaikan taklimat kepada pemilik tanah pada sesi Town Hall kedua anjuran PKB di Kampung Baru baru-baru ini. - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 13 September 2019 6:45 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas melalui sesi Town Hall sebanyak dua kali, pemilik tanah dan waris di Kampung Baru dapat memahami serta me­nyambut baik pelan perancangan pemba­ngunan semula kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Zulkurnain Hassan berkata, dalam sesi kedua Town Hall pada 7 September lalu, pemilik serta waris mulai faham dan menyokong pembangunan yang ingin dilakukan.

Namun kata beliau, pihaknya menyedari masih terdapat banyak khabar angin selain terdapat beberapa individu yang cuba mempersoal usaha kerajaan dengan tujuan menggagalkan perancangan tersebut.

Beliau memberitahu, isu berbangkit seperti tawaran harga penjualan masih diketengahkan berikutan ramai yang menanti-nantikan nilai tanah masing-masing.

“Kehadiran pemilik serta waris amat memberangsangkan dan kedatangan merekodkan kira-kira 450 orang walaupun pada musim cuti ramai penduduk me­ngambil peluang untuk berjalan-jalan.

“Ini taklimat awal kali kedua. Minggu le­pas kebetulan hari cuti umum Ma’al Hijrah 1441 dan kehadiran mengikut perancangan iaitu lebih 500 peserta hadir.

“Untuk sesi kali ini, sebahagian pemilik atau waris sudah mempunyai maklumat awal dan sekiranya sudah faham serta mendaftar, mereka boleh datang pada sesi Town Hall pada 21 September nanti,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Sesi Town Hall ketiga bakal diadakan pada 14 September ini.
Zulkurnain memberitahu, taklimat awal adalah untuk menjelaskan perkara asas tentang pembangunan supaya pada sesi Town Hall nanti, tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu, me­ngulas tentang masalah pemilikan tanah, beliau memberitahu, sehingga kini, pihaknya merekodkan 25 hingga 30 peratus penama yang tidak dapat dikesan berikutan tanah tanah tersebut sudah pecah kepada empat generasi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas