Berita

Wilayahku kunjung hormat ke pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur

MAHADI turut menceritakan perbincangan beliau bersama beberapa Datuk Bandar di beberapa negara luar.
- Diterbit 22 Oktober 2020 6:22 AM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Wilayahku di pejabat beliau di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz; Ahli Lembaga Pengarah YWP Media Sdn Bhd, Zaizalnizam Zainun dan Pengurus Besarnya, Azlan Abdul Aziz serta Pengarang Kanan Wilayahku, Helme Hanafi.

Turut serta dalam pertemuan itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad dan timbalannya, Khairul Azlan Yusuf.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Azlan menjelaskan mengenai operasi akhbar Wilayahku dan platform di bawah seliaannya, selain perancangan kerjasama dengan DBKL bagi memberi liputan menyeluruh tentang agensi tersebut sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

Azlan turut berkata, kunjungan itu juga bagi mengeratkan hubungan antara Wilayahku dengan DBKL.

Sementara itu, Mahadi menzahirkan harapan agar Wilayahku dapat memberi liputan menyeluruh dan menyampaikan berita berkaitan agensinya supaya memudahkan warga kota mendapat maklumat yang tepat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai perbincangan menerusi Webinar bersama Datuk Bandar di beberapa negara.

“Antara yang diketengahkan adalah pembangunan infrastruktur berkonsepkan kehijauan ‘green infrastructure’ dan bagaimana memberi nafas baharu pada kawasan lama ‘rejuvenate’,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas