Rayuan Jamal Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar April tahun depan

Rayuan Jamal Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar April tahun depan

MAHKAMAH Rayuan hari ini menetapkan 22 April tahun hadapan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin terhadap beliau.

Rayuan beliau tersenarai untuk pengurusan kes menerusi prosiding E-Review di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Azah Idris hari ini dan dihadiri oleh peguam Jamal, Mohammed Nasser Yusof dan peguam Kenny Lee Jun How yang mewakili Yeo.

Peguam Yeo Datuk Sankara N Nair dan Mohammed Nasser ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu.

Pada 7 Ogos tahun ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman itu dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM2,000.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu memfailkan rayuan untuk membatalkan saman itu Jun tahun ini dengan alasan ia adalah terlalu awal kerana siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi berjalan.

Pada 14 Jun, 2017, Yeo, selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Dalam pernyataan tuntutannya, Yeo yang merupakan Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac, 2017, dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan Jamal, antara lain, memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Yeo juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – BERNAMA

CATEGORIES