Wilayah idam juara Sukma 2020

Wilayah idam juara Sukma 2020

Debaran Sukan Malaysia Sukma 2020 yang bakal berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai ini semakin memuncak.
Pelbagai persiapan dilakukan demi menyahut cabaran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad untuk bergelar juara Sukma kali ini.

Bagi mengetahui lanjut tentang persediaan Wilayah Persekutuan untuk menghadapi temasya ini, ikuti temubual wartawan Wilayahku, AINI MAWAWI dan NAZWIN NAZRI bersama Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Berapakah jumlah anggota Kontinjen Wilayah Persekutuan yang akan terlibat pada Sukma Johor 2020 ini?

Hasnul: Anggaran jumlah anggota Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma 2020 melibatkan kira-kira 700 orang terdiri daripada pegawai, atlet, jurulatih dan pengurus pasukan.

Pengurusan Tertinggi Kementerian Wilayah Persekutuan telah sepakat melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosioekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir sebagai Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan Sukma 2020.

Beliau akan dibantu oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen I Wilayah Persekutuan; Naib Presiden (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Kamaruddin Dolmat sebagai Timbalan Ketua Kontinjen II Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd. Ismail sebagai Timbalan Ketua Kontinjen III Wilayah Persekutuan.

Berapakah acara sukan yang disertai Wilayah Persekutuan ke Sukma 2020?

Hasnul: Sukma Johor 2020 akan mempertandingkan sebanyak 33 jenis sukan dan Wilayah Persekutuan akan menyertai kesemua jenis sukan yang dipertandingkan.

Apakah antara sukan yang bakal dikuasai Kontinjen Wilayah Persekutuan dan siapakah atlet prospek yang dijangka menyumbang emas?

Hasnul: Kita meletakkan sasaran kepada sukan gimrama, bola jaring, angkat berat dan sukan berpasukan.
Antara atlet Wilayah Persekutuan yang dijangka memberi saingan kuat sekali gus menyumbang emas adalah Erry Hidayat (angkat Berat), Iman Alisya (gimrama) dan Khuzairi Azim (Muay Thai).

Bagaimanakah pemilihan atlet Wilayah Persekutuan ke Sukma 2020 dilaksanakan?

Hasnul: Pemilihan atlet dibuat berdasarkan kejohanan-kejohanan kebangsaan dan sesi pemilihan yang dijalankan oleh setiap pasukan.

Kita juga membuat saringan semula ke atas atlet-atlet yang pernah mewakili dan menyumbang pingat pada edisi Sukma yang lalu.

Pelaksanaan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) tahun lalu, setelah 10 tahun tidak dilaksanakan juga menjadi medan terbaik MSWP untuk mengenal pasti atlet yang dapat mewakili Wilayah Persekutuan pada edisi kali ini.

Bagaimana persediaan kontinjen terutamanya atlet yang bakal bertanding?

Hasnul: Persediaan atlet telah memasuki fasa ketiga (fasa akhir) melalui pelaksanaan program WiJuara yang akan memberi peluang latihan dan pendedahan pertandingan kepada atlet menjelang Sukma nanti.
Program ini turut melibatkan kejurulatihan, sains sukan dan pelan periodisasi untuk memastikan atlet berada dalam keadaan siap siaga.

Apakah penambah-baikkan pada Sukma kali ini?

Hasnul: Pelbagai penambahbaikkan telah dilaksanakan terutamanya penekanan kepada program sains sukan dalam meningkatkan prestasi para atlet.
Tiada sebarang perkara yang terkecuali dalam menyediakan atlet dari segi fizikal dan mental sebelum mereka menghadapi temasya dwi tahunan ini.
Antaranya aspek fisioterapi, fisiologi, psikologi dan pemakanan atlet diberi perhatian sepenuhnya.

Apakah sasaran dan harapan Kontinjen Wilayah Persekutuan?

Hasnul: Sasaran ini berdasarkan kepada penilaian yang dibuat oleh jurulatih setiap sukan menerusi perkembangan semasa atlet masing-masing.
Kita berharap dapat bergelar juara walaupun terdapat cabaran daripada Kontinjen Terengganu, Selangor dan Johor sebagai tuan rumah yang sudah tentu mempunyai kelebihan.

CATEGORIES