Berita

Timmy Tan mahu kekal momentum di peringkat Asia

TIMMY mahu raih kejuaraan di Kejohanan Terbuka Asia.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kejayaan menggungguli acara individu dan all events pada Kejohanan Asia di Kuwait hujung tahun lalu serta menyumbang dua pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina sudah cukup membuktikan kemampuan Timmy Tan bergelar raja boling tenpin negara.

Bukan itu sahaja, pemuda kelahiran Kuala Lumpur berusia 26 tahun ini turut berjaya membuktikan dirinya antara pemain terbaik dimiliki skuad lelaki negara yang diketuai Rafiq Ismail.

Menurut Timmy, dia percaya momentum yang sama dapat diteruskan bagi musim ini.

“Tahun 2019 seperti ‘roller coaster’ kerana saya memulakannya dengan prestasi tidak berapa baik namun pada akhirnya berjaya memenangi dua pingat emas dalam Kejohanan Asia dan Sukan SEA pada penghujung tahun lepas.

“Apa pun saya yakin tahun ini kami mampu pergi lebih tinggi dalam Kejohanan Asia dan beberapa kejohanan lain. Untuk itu, sasaran tahun ini adalah untuk mengekalkan prestasi dan mendapatkan kejuaraan dalam kejohanan terbuka,” tambahnya.

Beberapa kejohanan terbuka Asia akan bermula pada bulan Mac.

Kejohanan yang menawarkan mata untuk kedudukan Asia pula akan bermula pada bulan Jun 2020 manakala Kejohanan Tenpin Boling Asia 2020 akan berlangsung pada Julai ini di Hong Kong.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas