Berita

Wartawan Jepun ditahan di Myanmar disyaki sebar berita palsu

- Diterbit 20 April 2021 8:18 AM MYT

WARTAWAN sambilan Jepun, Yuki Kitazumi, yang ditahan di Yangon Myanmar, disyaki “menyebarkan maklumat palsu,” lapor Sputnik memetik Agensi Berita Kyodo pada Isnin.

Kitazumi, bekas wartawan Nikkei Business Daily yang berpangkalan di Tokyo, ditahan pasukan keselamatan pada petang Ahad di kediamannya di Yangon.

Menurut kedutaan Jepun, beliau kemudian dipindahkan ke penjara Insein di Yangon, yang menempatkan ramai tahanan politik.

Wartawan itu kini sedang disiasat kerana didakwa menyebarkan berita palsu dalam laporannya mengenai tunjuk perasaan di negara itu yang dianggap menjejaskan imej tentera.

Perdana Menteri Yoshihide Suga menegaskan kedutaan sedang menguruskan kes Kitazumi dan berikrar untuk melindungi warga Jepun di Myanmar, lapor Kyodo.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat Jepun di negara ini,” kata Suga.

Kerajaan Jepun mengecam penahanan wartawan itu dan menuntut beliau dibebaskan.

“Kami mendesak pemerintah Myanmar untuk membebaskan wartawan itu secepat mungkin,” kata Ketua Sekretariat Kabinet Katsunobu Kato.

Ini kali kedua Kitazumi ditahan di Myanmar tahun ini.

Sebelum ini beliau ditahan ketika membuat liputan mengenai tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kerajaan tentera tetapi kemudian dibebaskan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas