RATA-RATA warga Wilayah Persekutuan menyambut baik perancangan kerajaan untuk mewujudkan saringan komuniti COVID-19 secara percuma yang bakal memanfaatkan warga emas serta golongan rentan.
Menurut Nurul Sabrina Johar, 23, pandemik kali ini lebih ganas yang mana individu positif COVID-19 tidak mengalami sebarang gejala meneruskan aktiviti harian seperti biasa dan pastinya membuatkan golongan warga emas berhadapan risiko tinggi.
“Saya perasan warga Wilayah yang positif COVID tetapi tidak mempunyai gejala akan meneruskan aktiviti harian seperti biasa di mana ia boleh memberi kesan terhadap orang lain yang mempunyai tahap imuniti rendah seperti warga emas.
“Walaupun saringan percuma ini akan menaikkan jumlah kes harian, namun ia adalah langkah terbaik berbanding mengesan mereka terlalu lambat seterusnya mencetuskan lebih banyak kluster baharu,” katanya yang menyambut baik mengenai inisiatif diadakan kerajaan ini.
Sabrina yang juga merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) turut berharap program seperti ini dapat diteruskan lebih-lebih lagi kepada warga yang tidak berkemampuan membuat saringan secara berbayar kerana program seperti ini membantu mengurangkan kes harian di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Hairudin Hambali, 47, dia meluahkan rasa syukur apabila inisiatif tersebut turut menyasarkan golongan B40 di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) kerana ia dapat memudahkan penduduk untuk melakukan saringan terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke pusat saringan secara berbayar.
“Alhamdulillah, ia lagi memudahkan penduduk untuk melakukan saringan di kawasan kediaman jadi orang yang tidak mempunyai kenderaan masih boleh turun kerana ia berhampiran sahaja dan tidak perlu bersesak dengan orang ramai untuk membuat ujian tersebut,” ujar penolong juru ukur JUPEM mengenai inisiatif yang dicadangkan kerajaan.
Hambali turut berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan dan dibuat lebih banyak di kawasan pendalaman serta mengguna pakai tenaga orang muda yang tinggal di kawasan PPR ini ke skuad sukarelawan.
Berpandangan sama, Nurul Syafiqah Ruslan, 29, memberitahu, langkah tersebut merupakan langkah yang bijak kerana tidak semua orang berkemampuan untuk melakukan saringan di klinik swasta dengan kos yang tinggi.
“Saya rasa inisiatif ini sangat bagus apabila diberikan saringan percuma, kerana tidak semua orang berkemampuan untuk lakukan saringan di klinik swasta,” jelasnya mengenai keadaan B40 yang tidak mampu menampung kos saringan di klinik swasta.
Syafiqah turut meletakkan harapan agar langkah mewujudkan saringan percuma ini berkesan dalam usaha Malaysia menghapuskan wabak COVID-19 yang makin mengganas ini.
Sementara itu, Mohd Nahar Saharudin, 40, berkata, inisiatif mengadakan saringan komuniti secara bersasar dan percuma ini satu tindakan yang bagus dalam memutuskan rantaian COVID-19.
“Bagus kerana kita sendiri tidak tahu adakah kita ini pembawa atau sebaliknya.
“Ini kerana varian-varian baru tidak mempunyai sebarang gejala dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak mengira umur,” katanya kepada Wilayahku.
Pelaksanaan ini antara tujuh Insiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 untuk kemudahan dan mengurangkan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 khususnya golongan B40 dan miskin bandar. – DIANA AMIR