Berita

Kawasan padat penduduk, keutamaan program saringan bersasar – Annuar

- Diterbit 6 Jun 2021 12:22 AM MYT

PELAKSANAAN Program Saringan Bersasar RTK Antigen oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengutama kawasan berkepadatan tinggi penduduk sebagai langkah pengesanan awal wabak dan mencegah jangkitan COVID-19.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, setakat ini 15 kawasan penempatan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan saringan bersasar fasa pertama iaitu antara lokasi mencatat jangkitan kes tinggi selain populasi penduduknya ramai.

Beliau berkata, inisiatif KWP dengan kerjasama Kementerian Kesihatan selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dibuat secara percuma untuk memastikan pencegahan awal dilakukan secara komprehensif melibatkan kelompok sasar rakyat memandangkan terdapat banyak jangkitan COVID-19 dilaporkan ketika ini tidak bergejala.

“Hari ini saya hadir untuk melihat dan memantau proses pelaksanan fasa awal Program Saringan Bersasar RTK Antigen dijalankan untuk mengenal pasti sebarang penambahbaikan diperlukan.

“Melalui inisiatif ini, KWP dan petugas kesihatan membuat pemeriksaan bersasar penduduk yang berisiko sekiranya terdapat 10 kes atau 15 kes di kawasan terbabit kami buat saringan penduduk sihat dan positif COVID-19 mengelaknya menular dalam komuniti,” katanya didalam sidang media selepas tinjauan Blok A, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah, Bandar Tun Razak.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Selain lokasi terbabit Program Saringan Bersasar RTK Antigen turut dilaksana serentak di tiga lagi lokasi iaitu PA Seri Pulau Pinang, Seri Kota dan PA Seri Sabah (Blok B) dengan anggarannya 150 hingga 300 penduduk disaring di setiap lokasi.

Dalam pada itu, Annuar menjelaskan untuk fasa pertama program tersebut, KWP telah mengenal pasti 15 kawasan perumahan berpenduduk padat untuk diberikan keutamaan saringan.

Secara keseluruhan pula katanya, KWP sasarkan 27 lokasi kawasan penempatan menjalani proses saringan bersasar RTK Antigen ini sebagai salah satu usaha memberikan perkhidmatan percuma kepada penduduk kelompok sasaran.

Sementara itu, berkenaan pendaftaran imunisasi COVID-19, Annuar berkata, berdasarkan datanya menunjukkan 100 peratus penduduk Putrajaya mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera, sementara 70 peratus warga Kuala Lumpur telah mendaftar dan Labuan 60 peratus setakat ini. -WILAYAHKU -SYAHIDI BAKAR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas