DALAM menyumbang ke arah bandar yang lebih maju, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan satu inisiatif baharu di mana penghantaran bil dilakukan secara atas talian. DBKL memaklumkan bermula tahun 2024, bil bercetak di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara tidak akan dikeluarkan lagi.
“Ia selaras dengan sasaran DBKL ke arah sifar kertas bermula tahun hadapan. Bil-bil akan dihantar secara atas talian melalui e-mel atau aplikasi WhatsApp.
“Sehubungan itu, penghuni di PA/PPR diminta untuk mendaftar di E-Penghuni PA/PPR bagi membolehkan penerimaan bil secara atas talian (e-bil),” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya baru-baru ini.
Tinjauan Wilayahku mendapati rata-rata warga kota menyambut baik dengan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tersebut.
Menurut Fauzi Taib penghantaran bil melalui atas talian lebih mudah untuk disimpan sebagai rujukan di masa hadapan.
“Memandangkan sekarang ini dunia teknologi, jadi semua maklumat dihantar melalui e-mel, WhatsApp atau scan QR code dan kita boleh simpan maklumat bil-bil tu dekat dalam phone, bila kita perlukan kita boleh print or send balik dekat orang tu. Tambahan dia boleh memudahkan orang tanpa perlu bergerak ke mana-mana,” katanya.
Turut menyokong inisiatif tersebut, Muhammad Syuqqree berkata ia antara jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi penduduk PA/ PPR apabila bil-bil bercetak tidak sampai ke tangan mereka.
“Terbaik DBKL. Satu insiatif baru yang bagus sebab di PPR kebanyakan peti surat rosak dan bil-bil selalu tidak sampai kepada penduduk,” katanya.
Manakala Rozali Md Noor berkata meskipun ia merupakan satu langkah yang bagus namun aplikasi tersebut mestilah mesra pengguna memandangkan pelbagai peringkat umur yang tinggal di kawasan PA dan PPR.
“Nak buat ini bagus..tapi biar mesra pengguna pada semua warga. Terutama warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiada anak atau tinggal sendiri,” katanya.
Berkongsi pendapat yang sama, Nur Iman Razali turut mencadangkan agar satu aplikasi syarikat telekomunikasi dibuat bagi memudahkan urusan pembayaran.
“Buat satu app contoh macam app yang telco..senang nak bayar.. tapi cara lama jangan dilupuskan. Ia bagi memudahkan warga emas yang mengalami kesukaran dengan teknologi. Warga OKU pun ramai tinggal di PPR,” ujarnya.
Dalam pada itu, DBKL turut memaklumkan terdapat perbezaan di antara aplikasi DBAYAR dan MOBIS.
“Aplikasi DBAYAR lebih khusus kepada penerimaan bil-bil air air, sewa dan caj perkhidmatan di PA/ PPR di bawah pentadbiran DBKL. Jika tidak mendaftar, bil-bil tersebut tidak akan dapat diterima,” jelas DBKL.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi unit sewa di talian 03-2617 6148/6151/6150 atau unit air 03-2617 6145/6146/6149 atau unit akaun jualan 03-2617 6119/6118. -WILAYAHKU