Berita

Pameran Bidan platform kenali adat perbidanan pelbagai kaum – Aaron

- Diterbit 11 Mei 2023 9:15 AM MYT

PAMERAN Bidan di Muzium Negara di sini yang mempamerkan artifak dan bahan berkaitan dunia perbidanan daripada pelbagai masyarakat berupaya menjadi platform untuk orang ramai lebih memahami adat, tradisi serta ilmu bidang berkenaan selain menjadi tarikan pelancong.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata antara peralatan yang dipamerkan pada pameran yang berlangsung dari 1 Mei lepas hingga 31 Julai ini ialah mangkuk mandi bayi etnik Dayak, pendukung bayi etnik Orang Ulu Kenyah, kerusi bersalin masyarakat Cina, sengkalan dan lupong manang atau bekas simpanan ubat etnik Iban.

Katanya, pameran julung kali itu juga menyalurkan informasi untuk mempelajari adat, budaya serta tradisi ilmu perbidanan pelbagai kaum dan dapat dijadikan penghubung antara ilmu perbidanan tradisional dengan moden.

“Secara tidak langsung pameran ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami perbezaan dan persamaan budaya antara kaum di Malaysia dalam aspek perbidanan.

“Penonjolan kepelbagaian amalan, adat dan tradisi masyarakat dalam dunia perbidanan membawa interaksi budaya dan timbulnya rasa saling menghormati dalam kalangan masyarakat seterusnya membantu ke arah mencapai perpaduan nasional,”  katanya pada majlis perasmian pameran itu di sini hari ini.

— LAGI

 

AARON-PAMERAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Perasmian yang diadakan serentak dengan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauno dan Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata pihaknya menyasarkan lebih 50,000 pelawat hadir menyaksikan pameran tiga bulan berkenaan yang turut mempamerkan diorama suasana sebenar bilik bersalin.

Katanya, pameran itu juga dianjurkan sempena Hari Bidan Antarabangsa yang diraikan pada 5 Mei sebagai penghargaan kepada peranan bidan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada ibu mengandung dan anak yang bakal dilahirkan.

“Pameran ini akan membawa pengunjung meneroka tradisi perbidanan kampung sehinggalah era moden dengan tertubuhnya klinik desa dan hospital bersalin dengan peralatan lengkap dan canggih,” katanya.

Beliau berkata pameran turut diisi dengan diorama adat bersalin Orang Asli, diorama adat melenggang perut, dioarama bersalai, diorama upacara Valaikappu serta sambutan Man Yue bagi masyarakat India dan Cina. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas