Berita

Anggota ATM dikerah Ahad ini, pastikan orang ramai duduk di rumah

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 20 Mac 2020 7:09 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikerahkan Ahad ini bagi membantu pihak polis melaksanakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat terus berada di dalam rumah masing-masing sepanjang tempoh perintah itu sehingga 31 Mac ini.

“Kita yakin dengan bantuan pihak tentera maka kawalan lebih lagi akan dapat dilaksanakan agar rakyat terus patuh dengan arahan kerajaan.

“Daripada laporan pihak polis jelas memperlihatkan terdapat peningkatan peratusan pematuhan arahan daripada rakyat yang semakin menyedari bahaya penyakit ini,” ujar beliau dalam satu sidang akhbar khas hari ini.

Menurut Ismail Sabri, masih ramai yang tidak peduli kepada rahan pihak kerajaan malah turut tidak mengendahkan nasihat pihak polis.

“Misalnya semalam didapati ada kumpulan yang secara bebas membawa anak ke taman permainan serta ada juga yang berada di restoran bersama kawan-kawan. Biarpun diarah bersurai namun masih berdegil, ” ujar beliau.

Jelas beliau, pihak polis sebenarnya boleh menggunakan Akta Polis sendiri untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap rakyat yang berdegil.

“Kita telah ambil maklum dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini untuk menasihati dan menjalankan tindakan berhemah pada peringkat awal.

“Bagaimanapun pihak polis memaklumkan jika sampai ke tahap tidak boleh berkrompromi dengan cara nasihat maka tindakan tindakan undang-undang akan digunakan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas