Selebriti

Wany Hasrita sah isteri Mohd Al-Adib

- Diterbit 22 Julai 2022 2:44 PM MYT

PENYANYI popular Wany Hasrita,30, sah bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua Kali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa, di Damansara Perdana, jam 9.11 malam, hari ini.

Pada majlis itu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.

Wany yang popular menerusi lagu Terlalu Memuja itu meluahkan rasa syukur apabila Majlis Hari bahagianya itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

“Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi.

“Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang.

“Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.

“Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya yang juga bekerja dalam industri penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, hubungan mereka mula rapat sejak 2019.

“Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi. Ketika itu saya mengenalinya melalui rakan baik saya yang juga sepupunya. Kenal macam tu saja.

“Waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi. Cuma, pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat,” ujarnya.

Terdahulu, Wany dan Adib memilih untuk bertunang pada 26 Februari lalu sebelum mengakhiri perhubungan mereka di jenjang pelamin hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas