Selebriti

Wanita harus waspada

- Diterbit 29 Januari 2024 11:26 AM MYT

KES Bella yang dipercayai dibunuh baru-baru ini membuatkan ramai yang terkejut dan bersimpati tidak ketinggalan juga penyanyi Nabila Razali yang turut mengikuti kisah ibu tunggal malang itu.

Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 31, kaum wanita perlu lebih peka terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku terutamanya ketika berada di luar.

“Memang sangat merisaukan. Saya yang sentiasa menjadi tontonan umum ini sering kali tersemat perasaan risau di dalam hati. Ia berlaku secara spontan setiap kali jika perlu keluar.

“Kadang-kadang rasa tak selamat, Cuma saya bernasib baik kerana selalu diiringi suami, pengurus dan pembantu. Jadi, apabila ada teman sepanjang masa itu, rasa lebih yakin.

“Kepada para wanita di luar sana, yang selalu pergi kerja sendiri, naik pengangkutan awam, berwaspadalah setiap masa kerana malang tidak berbau,” ujar penyanyi lagu Hanya Kamu ciptaan MFMF dan Aisha Retno ini.

Dalam masa yang sama, Nabila mencadangkan golongan wanita perlu mempelajari ilmu pertahanankan diri dan bijak menggunakan gajet ketika berdepan kecemasan.

“Bagi saya, sekarang ini wanita kena belajar silat dan seumpamanya sekurang-kurangnya ada asas untuk melindungi diri daripada bahaya dalam masa yang sama, sesuai dengan kecanggihan teknologi sekarang, saya rasa tak salah untuk kita kongsikan live location dengan mereka yang rapat.

“Kalau ada apa-apa berlaku atau tiada respons daripada kita, sekurang-kurangnya ahli keluarga tahu di mana lokasi terakhir untuk menjejaki dan menghantar bantuan,” ujar Nabila. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas