Berita

VAT 69 Komando juara Tarik Tali Putrajaya-KL

VAT 69 Komando beraksi ceria selepas menjuarai pertandingan Tarik Tali Putrajaya-Kuala Lumpur.
VAT 69 Komando beraksi ceria selepas menjuarai pertandingan Tarik Tali Putrajaya-Kuala Lumpur.
- Diterbit 2 September 2019 3:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – VAT 69 Komando muncul juara kategori utama, Lelaki Senior 680 Kilogram Tempat Terbuka Kejohanan Tarik Tali Kelab-kelab Antarabangsa Putrajaya-Kuala Lumpur Pertama, 2019 sambil mengaut hadiah termahalnya, RM15,500 setelah mengatasi lapan pasukan lain, semalam.

Mereka menewaskan rakan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Saka Biru A dalam perlawanan akhir di Padang Merbuk, Kuala Lumpur yang terpaksa berpuas hati dengan RM7,000 selaku naib juara selain Sa Gazelles dari Afrika Selatan di tempat ketiga dengan RM4,000.

Lima lagi pasukan yang mara ke peringkat kalah singkir ini menurut susunan pencapaian mereka dengan beroleh hadiah wang tunai antara RM3,000, RM1,500, RM1,200, RM1,000 dan RM800 ialah Panther 5, Gerak 6, Apache Labuan, Jerung Malaya dan Chainblock B.

Hadir menyaksikan dan merasmikan majlis penutupan rasmi kejohanan ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan dan Presiden Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTWPKL), Zolkefli Ahmat.

Kategori Tradisional Senior Lelaki 980 kg pula dimenangi Shah Alam City Boys yang turut merangkul RM2,000 selepas menewaskan Penjara Sungai Buloh sambil mengumpul 13 mata berbanding naib juara, 11 mata dalam saingan secara liga. Tempat ketiga milik PPR Seri Perak.

Acara Tempat Tertutup kejohanan sudah pun berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya yang kedua-dua kategori utamanya, 640 dan 600 kg dijuarai dua kelab China, Magangjituan dan Limingufen, Rabu lalu.

Sebanyak 82 kelab dari enam negara menyertai kejohanan julung-julung kalinya ini dan mendapat sokongan dan kebenaran Persekutuan Tarik Tali Antarabangsa (TWIF) dan Persekutuan Tarik Tali Asia (ATWF).

Keputusan lain

Lelaki Bawah 23 Tahun 600 kg: 1. Sa Gazelles 2. Ipoh Panther 3. Jerung Malaya 4. Kemboja 5. Mersing Todak

Wanita Senior 540 kg: 1. Sa Gazelles 2. Saka Biru 3. Redhead 4. Jerung Malaya 5. Kemboja

Wanita B23 540 kg: 1. Sa Gazelles 2. Jerung Malaya A 3. Kemboja 4. Jerung Malaya B

Remaja Lelaki Bawah 18 – 560 kg: 1. Bandau Warrior 2. SMK Bandar Baru Sungai Buloh 3. SMK Seksyen 4. Kota Damansara

Remaja Perempuan Bawah 18 – 480 kg: 1. Sa Gazelles 2. Mawar Berduri 3. Jerung Malaya 4. SMK

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas