Artikel

Validasi di media sosial: Beri kesan kepada kesihatan mental

KEBERGANTUNGAN terhadap media sosial membawa impak negatif khususnya kepada kesihatan mental.
- Diterbit 26 Mei 2023 3:25 AM MYT

DR NORSAFATUL AZNIN A RAZAK

STATISTIK dari Kementerian Komunikasi dan Digital (2022) merekodkan seramai 28 juta pengguna media sosial menunjukkan kebergantungan terhadap media sosial sebagai satu platform untuk tujuan jaringan perhubungan, perbincangan mahupun perkongsian pandangan sememangnya tidak boleh dinafikan.

Oleh yang demikian, individu terdorong untuk mencari validasi sosial untuk mengesahkan bahawa apa yang mereka rasakan, fikirkan, malah tindakan yang dizahirkan dalam media sosial secara terang-terangan adalah benar atau boleh diterima oleh orang lain.

Merujuk kepada konteks validasi di media sosial, ia boleh diklasifikasikan sebagai proses pengakuan atau penerimaan, pembuktian bahawa suatu pemikiran, perasaan, tindakan individu itu adalah benar, malah ia merupakan satu sokongan dan tindakan seseorang diterima di lingkungan sosialnya.

Secara psikologinya, manusia memiliki naluri untuk kekal berhubung dan rasa ‘keterikatan’ untuk mengembangkan rasa dipunyai dan difahami.

Namun, dalam era kepesatan internet dan teknologi, media sosial telah menjadi wadah untuk membangun keterikatan, karakter, dan validasi yang menjadi satu bentuk sokongan dan mungkin boleh terdedah kepada ancaman.

Malah semakin ramai individu yang cenderung menilai kebahagiaan hidup berdasarkan cara mereka diterima di media sosial yang diukur berdasarkan jumlah tanda suka, komen-komen berbaur pujian, sanjungan dan status yang dikongsi di segenap platform.

Kebergantungan individu untuk diterima dalam lingkungan sosialnya boleh mendorong mereka menjadi obses dengan jumlah tanda suka yang diperoleh, sering memeriksa komen yang diterima terhadap posting yang dibuat dengan kerap.

Apa yang membimbangkan sekiranya media sosial menjadi alat validasi yang mutlak untuk mencerminkan kebahagiaan hidup seseorang.

Lebih malang sekiranya perkara-perkara negatif seperti tingkah laku agresif, kata-kata berbaur provokasi dan bersifat memfitnah turut dinormalisasikan oleh masyarakat atas dasar menghormati dan mengakui hak kebebasan bersuara.

Validasi khususnya di media sosial memiliki impak negatif khususnya kepada kesihatan mental sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Bermula dengan tujuan sebagai sokongan boleh beralih kepada suatu bentuk ancaman.

Sebagai contoh, tidak semua perkara yang dimuat naik di media sosial perlu diperakukan oleh semua penonton. Apalagi dengan teknologi yang semakin berkembang, foto atau video mampu direka atau diedit sehingga kelihatan menarik dan indah.

Namun, sekiranya individu terlalu bergantung kepada keperluan validasi dan memerlukan perhatian dari media sosial secara tetap, mereka cenderung akan merasa cemas atau depresi kerana terkesan kepada jumlah tanda suka dan komentar yang terzahir di platform tersebut yang akhirnya membentuk harga diri kita dan kesihatan mental kita secara keseluruhan.

Data dari Pew Research Center yang menunjukkan satu daripada lima mahasiswa terdedah dengan kecemasan dan depresi disebabkan penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menjadi satu titik penting untuk diberi perhatian oleh semua pihak dalam mengendalikan media sosial dengan lebih baik.

Selalunya, tingkah laku mencari perhatian di media sosial sering dianggap karakter yang lemah, dramatik atau manipulasi keadaan.

Walau bagaimanapun, tingkah laku ini berkemungkinan merupakan satu manifestasi kepada trauma atau gangguan psikologi yang amat menyakitkan.

Daripada kita meremehkan atau memandang negatif tindakan individu yang menzahirkan sesuatu di media sosial, adalah penting untuk kita mencari makna dan pemahaman untuk membantu seseorang yang sedang menangis dalam kesakitan.

Sudah tiba masanya kita menjadi pendengar yang baik kepada insan sekeliling kerana media sosial tidak boleh menggantikan sepenuhnya peranan kita sebagai ejen komunikasi, penghubung dan penyokong dalam sesuatu perhubungan atau kelangsungan hidup individu sekeliling kita. Jadilah pengguna media sosial yang bijak.

PENULIS merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas