Vaksin Pelajar: ‘Jalan keluar’ untuk kembali ke sekolah
VAKSIN Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas, dijangka akan diterima calon-calon peperiksaan ini pada pertengahan Julai depan untuk dos pertama. Kredit foto: theconversation.com

Vaksin Pelajar: ‘Jalan keluar’ untuk kembali ke sekolah

PEMBERIAN vaksin kepada semua pelajar yang akan menduduki  peperiksaan utama pada tahun hadapan disifatkan ‘jalan keluar’ terbaik  untuk  membolehkan pelajar kembali segera ke sekolah walaupun  negara masih ‘bertarung’ dengan jumlah kes harian COVID-19 yang tinggi.

Pengumuman  Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada 18 Jun lalu, merupakan khabar gembira seterusnya memberi sinar kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)  2021 untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sehingga menjelangnya tarikh peperiksaan.

Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas,  dijangka akan diterima calon-calon peperiksaan  ini pada pertengahan Julai depan untuk dos pertama.

Sudah tentu usaha ini turut memberi kelegaan kepada guru dan ibu bapa bagi memastikan persediaan pelajar yang terjejas berikutan terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  sebelum ini dapat kembali dipertingkatkan.

Vaksin yang  bakal diterima ini menjadi perisai terbaik pelajar khususnya bagi calon yang akan menduduki peperiksaan terutama dapat melindungi mereka daripada komplikasi teruk COVID-19, menurut Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh.

Meskipun dapatan menunjukkan gejala COVID-19 yang dihadapi kumpulan kanak-kanak sehingga 17 tahun ini lebih ringan berbanding orang dewasa,  namun usaha pemberian vaksin ini sangat penting untuk memberi keyakinan kepada pelajar  bahawa mereka telah dilindungi  sebelum  kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran.

Jelasnya, pelajar tidak perlu merasa bimbang dengan kesan sampingan seperti demam dan sakit kepala yang biasanya akan dihadapi  penerima vaksin  kerana ia hanya bersifat sementara.

“Apabila tidak mengambil vaksin, risiko jangkitan COVID-19 lebih besar sehingga boleh menyebabkan kesan akut dalam jangka masa panjang.

“Apa yang paling  penting, apabila pelajar menerima vaksin,  secara tidak langsung akan mengurangkan gangguan terhadap proses pembelajaran sekali gus pelajar boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,’’ katanya kepada Bernama.

Dr Rosnida menyatakan berdasarkan kepada situasi semasa dan pendedahan maklumat berkaitan vaksin melalui pelbagai saluran media, pelajar pada masa kini dilihat bersikap lebih terbuka  dan yakin  program vaksinasi seperti yang dirancangkan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Lazimnya, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti pelajar SPM dan STPM sudah cukup bijak dan matang dalam mencari informasi yang  tepat mengenai vaksin daripada sumber-sumber yang sahih.

“Mereka ini boleh membuat keputusan sendiri dan saya rasa mereka (akan) lebih bersikap terbuka untuk menerima vaksin,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad pula berpandangan,  pemberian vaksin kepada calon peperiksaan perlu lebih bersasar.

Jelasnya, pendekatan itu perlu supaya pelajar yang berkeperluan diberikan vaksinasi terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran mereka.

“Jangkaan kasar jumlah pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini sekitar 500,000 orang.

“Oleh kerana jumlahnya yang besar dan masa pendek, sasaran (pelajar) perlu jelas, kumpulan pelajar manakah yang perlu didahulukan, dalam kalangan pelajar bandar atau luar bandar?,’’ soalnya.

Anuar menyatakan sekiranya pemberian vaksin dibuat secara berperingkat, kumpulan pelajar luar bandar yang mempunyai kesukaran mendapatkan akses internet perlu diberi keutamaan.

Katanya, langkah itu perlu supaya pelajar berkenaan boleh meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

“Bagi kumpulan yang mempunyai akses internet buat sementara waktu boleh teruskan pembelajaran online (secara dalam talian) seperti sekarang.

“Amat diharapkan, pemberian vaksin akan disegerakan serta diperluaskan untuk pelajar lain (bukan calon peperiksaan). Saya yakin, kebanyakan pelajar akan mendaftar untuk menerima vaksin kerana orang muda (biasanya) lebih faham kepentingan vaksin untuk kesihatan mereka,” katanya. — BERNAMA

CATEGORIES