Berita

Umat Islam perlu faham konsep ‘berkemampuan’ tunai haji- Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar (dua, kanan) menerima sumbangan untuk Tabung Palestin daripada Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) pada Majlis Penutupan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40 Musim Haji 1445H hari ini. Turut sama Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman (kanan). Foto kredit: BERNAMA
- Diterbit 25 Oktober 2023 8:51 AM MYT

UMAT Islam di Malaysia perlu diberikan kefahaman yang tepat mengenai konsep dan pengertian istito’ah atau syarat kemampuan menunaikan haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata bakal jemaah haji perlu memenuhi lima syarat kemampuan yang digariskan hukum syarak iaitu kesihatan yang baik; ada kenderaan pergi dan balik ke Tanah Suci; aman dalam perjalanan; kewangan mencukupi dan kebenaran pihak Arab Saudi.

Bercakap pada sidang media pada Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-40 di sini hari ini, Mohd Na’im berkata Islam agama yang mudah dan Allah tidak mewajibkan sesuatu ibadat di luar kemampuan manusia.

“Ada ramai dalam kalangan bakal haji yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapat peluang pergi haji sedangkan syarat wajib itu gugur sekiranya mereka tidak memenuhi lima syarat kemampuan yang digariskan hukum syarak.

“Jika umat Islam di Malaysia diberikan kefahaman yang tepat terhadap konsep dan pengertian istito’ah, maka saya percaya tidak akan timbul kerisauan dan kegusaran yang melampau apabila tidak dapat menunaikan ibadat haji dalam jangka masa yang terdekat atas alasan yang dibenarkan hukum syarak,” katanya.

Mohd Na’im berkata Lembaga Tabung Haji berperanan untuk menjelaskan tentang hukum menunaikan ibadat haji khususnya berkaitan syarat kemampuan kepada bakal jemaah.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan aplikasi e-Bimbingan Haji bagi memudahkan urusan pembelajaran bakal jemaah termasuk petugas haji serta Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta).

Aplikasi itu boleh dimuat turut ke telefon bimbit mulai Jumaat ini, katanya.

Muzakarah Haji ke-40 bertemakan ‘Ibadah Yang Sahih Asas Kemabruran Haji’ berlangsung selama tiga hari bermula Isnin, membincangkan hal ehwal berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1444H lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas