Berita

Israel bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Gaza – Presiden Palestin

Foto kredit: REUTERS
- Diterbit 25 Oktober 2023 9:11 AM MYT

PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa berkata Israel dan negara-negara yang menyokong rejim itu bertanggungjawab ke atas apa yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

Abbas berkata demikian susulan pertemuan beliau dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron di ibu pejabat presiden Palestin di Ramallah, menurut Agensi Anadolu yang memetik laporan Palestine TV.

Presiden Palestin itu turut menggesa gencatan senjata, pembukaan koridor bantuan kemanusiaan dan penyediaan bekalan air, elektrik, bahan api dan keperluan lain kepada penduduk.

Abbas juga meminta Macron dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk segera menghentikan serangan Israel, mengadakan persidangan damai antarabangsa dan menumpukan usaha ke arah penyelesaian politik.

Lebih daripada 5,795 warga Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 18,000 lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Okt. – BERNAMA-AGENSI ANADOLU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas