Berita

Tunku Zain Al-‘Abidin dilantik Pro-Canselor UCSI University

- Diterbit 19 Januari 2021 6:59 AM MYT

TUNKU Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dilantik sebagai Pro-Canselor UCSI University yang baharu, berkuat kuasa Disember lalu.

Menurut kenyataan UCSI hari ini, pelantikan putera kedua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir itu merupakan langkah tepat dalam meletakkan universiti tersebut di landasan yang betul ke arah pencapaian lebih hebat pada masa akan datang.

Kenyataan itu turut memetik hasrat Tunku Zain Al-’Abidin untuk mengetengahkan usaha-usaha yang diperlukan dalam bidang-bidang seperti aktivisme masyarakat sivil, sokongan dasar awam, inovasi perniagaan, inisiatif pendidikan serta memupuk bakat sukan dan muzik dalam kalangan komuniti UCSI.

“Tunku Zain Al-’Abidin percaya Malaysia hanya dapat berkembang sebagai sebuah negara yang teguh sekiranya rakyat daripada pelbagai bidang bekerja bersama dengan satu matlamat ke arah masa depan yang dikongsi bersama.

“Beliau percaya usaha ke arah matlamat bersama ini bermula di peringkat institusi pengajian tinggi dan UCSI, universiti swasta peneraju, menerima guna sesetengah pendekatan yang sinonim dengan hasrat tersebut,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Tunku Zain Al-’Abidin yang memiliki ijazah sarjana muda Government and Sociology serta ijazah sarjana dalam Comparative Politics and Imperial History daripada London School of Economics and Political Science berpengalaman luas dalam pelbagai bidang serta pernah berkhidmat di Bank Dunia sebagai juruperunding sektor awam.

Beliau juga pernah menjalankan beberapa inisiatif berimpak besar dengan sesetengahnya dilakukan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tunku Zain Al-’Abidin merupakan pengasas dan Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta pemegang amanah Yayasan Chow Kit dan Yayasan Munarah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas