Berita

Tunggu kenyataan rasmi berhubung pengampunan Najib – Zaliha

- Diterbit 30 Januari 2024 4:26 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa enggan mengulas lanjut berhubung keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan sama ada membuat keputusan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zaliha yang juga terbabit dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan itu meminta orang ramai menunggu kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut.

“Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, hari ini.

Zaliha berkata, mesyuarat tersebut yang berlangsung semalam di Istana Negara tidak memaklumkan bila kenyataan rasmi itu akan dikeluarkan.

Semalam, media tempatan melaporkan Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan antara agenda mesyuarat terbabit adalah mengenai hukuman penjara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Difahamkan mesyuarat berkenaan menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Al-Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir hari ini dan kembali sebagai Sultan Pahang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas