Berita

Tuah jinakkan keli 11.3kg, Amiruddin bawa pulang RM7,000

MOHD. NAZAM (empat dari kiri) bergambar bersama pemenang dan penaja Cabaran Pancing Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong baru-baru ini.
- Diterbit 18 Februari 2020 3:56 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seorang remaja tidak menyangka minat menyertai aktiviti memancing bersama keluarga membuahkan hasil apabila dia muncul juara Cabaran Pancing Kuala Lumpur (CPKL) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Taman Tasik Metropolitan, Kepong di sini, Ahad lalu.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Amiruddin Mohd. Azlan, 19, dari Pantai Dalam membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000, selain barangan iringan Sunkist, Igloo dan Pure Fishing (M) Bhd.

Dia berjaya menaikkan spesies keli seberat 11.38 kilogram (kg) pada pukul 10.26 pagi sekali gus menewaskan kira-kira 1,000 peserta.

Amiruddin berkata, dia merancang untuk menggunakan hadiah kemenangan itu untuk keperluannya dan meneruskan pertandingan memancing dengan membawa keluarganya bersama.

“Saya sangat bersyukur. Ini hadiah buat keluarga saya selain berkongsi kemenangan bersama keluarga,” katanya.

SEBAHAGIAN kaki pancing menanti joran masing-masing disambar ikan pada Cabaran Pancing Kuala Lumpur di Taman Tasik Metropolitan, Kepong baru-baru ini.

Tempat kedua dimenangi Ayub Yusop , 57, selepas menaikkan keli seberat 9.19kg sekali gus membawa pulang RM3,000 manakala hadiah ketiga dimenangi Abdullah Mustafa, 65, yang membawa pulang RM1,000 serta barangan iringan Sunkist, Igloo dan Pure Fishing.

Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd. Nazam Harun.

Terdahulu CPKL dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas