Hotel TH hanya pindah milik, bukan ‘buang’ pekerja

Hotel TH hanya pindah milik, bukan ‘buang’ pekerja

KUALA LUMPUR – Tiada kakitangan TH Hotel and Residence Sdn. Bhd. (THHR) diberhentikan susulan pindah milik empat hotel Lembaga Tabung Haji (TH) kepada pengurusan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJ).

Malah, TH tidak menutup keempat-empat hotel tersebut, sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan UJ di bawah anak syarikat milikan penuh, UJ Property Management Sdn. Bhd. (UJPM).

TH dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 90 peratus kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel manakala 10 peratus lagi diserap ke THHR Kelana Jaya.

“Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ia juga merupakan langkah yang perlu diambil UJ bagi memenuhi mandat untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

Sehubungan itu, TH dan UJ berharap rakyat negara ini akan memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator dengan penerajunya, Muhammad Solleh Ramli yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS