Berita

Tradisi makan colek selepas tarawih kembali meriah

ENDEMIK memberi nafas baharu kepada peniaga colek di daerah ini yang tidak menang tangan melayan kunjungan pelanggan yang memenuhi gerai jualan selepas menunaikan solat tarawih. kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 5 April 2022 7:05 AM MYT

FASA Peralihan ke Endemik memberi nafas baharu kepada peniaga colek di daerah ini yang tidak menang tangan melayan kunjungan pelanggan yang memenuhi gerai jualan selepas menunaikan solat tarawih.

Seorang peniaga Nor Azizah Mohd Nor, 44, yang menjalankan perniagaan di Melor, dekat sini, berkata beliau menyediakan 30 jenis colek tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Bercakap kepada Bernama, Nor Azizah berkata antara colek yang menjadi kegemaran ialah celup tepung seperti udang, paru, ikan, bebola ikan, sosej, isi ketam, isi udang, keropok lekor, popia dan colek ‘malas’ (jemput-jemput diperbuat daripada tepung) serta buah-buahan.

“Colek ini dijual dengan harga serendah RM1 hingga RM5 setiap satu.

“Saya jual colek dengan harga murah kerana niat untuk membolehkan penduduk di sekitar Melor, Ketereh, Kadok, Mahligai, Gunong dan Pasir Puteh dapat sama-sama menikmati keenakannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ditanya mengenai keistimewaan colek jualannya, Nor Azizah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Zah Petron Melor berkata beliau menawarkan tiga jenis rasa iaitu colek nisey kerek (gula melaka), colek pedas yang diletakkan cili kering dan colek manisan gula.

“Saya buka perniagaan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan sejak hari pertama puasa.

“Saya rasa sangat bersyukur tahun ini dapat berniaga seperti biasa berbanding hanya pembelian secara bungkus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya yang dibantu tujuh pekerja setiap hari.

Di Kelantan, aktiviti makan colek popular khususnya selepas menunaikan solat tarawih.  — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas