Berita

Tol percuma 8 dan 9 Feb ini

- Diterbit 7 Februari 2024 11:44 AM MYT

JEMAAH Menteri bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada semua kenderaan persendirian pada 8 dan 9 Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian tol percuma itu bagi meraikan seluruh Malaysia terutamanya masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya pengecualian tol itu meliputi semua kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini,” katanya.

Menurut Alexander, dengan pelaksaan pemberian tol percuma ini diharapkan agar pengguna lebih raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya.

“Pengiinga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang di kemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X secara berkala,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas