Artikel

Tol lebuh raya Lembah Klang turun?

PENURUNAN tol di Lembah Kelang akan menjimatkan perbelanjaan keluarga yang perlu bangkit semula selepas terjejas berikutan pandemik COVID-19.
- Diterbit 12 November 2021 4:23 AM MYT

JIKA rundingan kerajaan dengan tiga pemegang konsesi lebuh raya di Lembah Klang membuahkan hasil, pengguna berkemungkinan menikmati penurunan kadar tol di 13 lebuh raya dalam bandar selaras usaha kerajaan menstruktur semula kadar tol lebuh raya di seluruh negara.

Memetik kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof, aspek ini merupakan tumpuan rundingan antara kementeriannya dengan Lebuh Raya Gamuda Berhad (Gamuda), Lebuh Raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan IJM Corporation Berhad (IJM).

Gamuda ialah pemegang konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang, iaitu Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), KESAS Sdn Bhd (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) serta Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

Prolintas pula pemegang konsesi enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Kajang (SILK), Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

IJM pula pemegang konsesi tiga lebuh raya iaiatu Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA), New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS).

Menurut Fadilah, setakat ini Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima cadangan daripada ketiga-tiga syarikat konsesi berkenaan dengan tawaran sama ada menurunkan kadar tol atau mengekalkan kadar sehingga tamat tempoh konsesi.

Adi difahamkan, cadangan tersebut sudah dibawa oleh kementerian ke mesyuarat kabinet dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Hasrat kementerian ialah agar rundingan dengan pemegang konsesi dapat merumuskan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah bagi meringankan beban pengguna.

Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebelum ini yang mengurangkan kadar tol sehingga 18 peratus.

Sehubungan itu kadar tol lebuh raya di seluruh negara, khususnya di dalam bandar, wajar dikaji semula ekoran penstrukturan PLUS itu.

Adi percaya pengguna lebuh raya di Lembah Klang pasti mengalu-alukan sebarang usaha menurunkan kadar tol.

Perbelanjaan akan dapat dijimatkan dalam suasana kepayahan akibat COVID-19 yang memberi tempias kepada struktur kehidupan mereka.

Pada pandangan Adi, oleh kerana pemegang konsesi tol ini diberi hak memegang konsesi untuk tempoh lama, ada yang mencecah sehingga 65 tahun, pengurangan kadar tol tidaklah terlalu membebankan syarikat.

Mereka mampu memperoleh pulangan pelaburan dan keuntungan pada jangka masa panjang.

Kerajaan sebelum ini telah membatalkan rancangan mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda, iaitu LITRAK, SPRINT, KESAS dan SMART yang ditawarkan pada 2019. Ini kerana kos yang ditawarkan sebanyak RM6.2 bilion adalah terlalu tinggi dan membebankan kerajaan.

Jika pemegang konsesi sedia menurunkan kadar tol hasil perbincangan dengan kerajaan nanti, atau bersetuju kadar tol akan terus kekal pada masa hadapan, kemungkinannya ialah tempoh konsesi akan dilanjutkan melampaui tarikh ia sepatutnya berakhir.

Harapan Adi ialah rundingan itu nanti akan mencapai persetujuan dalam suasana menang-menang, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna.

Adi — Suka lalu jalan lama

Memenuhi keperluan rumah B40, M40

RUMAH adalah antara tiga teras utama keperluan hidup, selain makan dan pakai. Namun tidak semua bernasib baik memiliki kediaman, terutama di Wilayah Persekutuan (WP) di mana harga rumah begitu tinggi sehingga sukar dicapai tangan, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam kategori B40 dan M40.

Dalam usaha memenuhi keperluan tempat tinggal untuk golongan B40, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah mampu milik atau mampu sewa melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Namun Adi sedar DBKL berhadapan dengan kekangan kerana jumlah yang memerlukan rumah PPR dan PA jauh melebihi bekalan. Akhirnya hanya segelintir dapat berteduh di PPR atau PA sedangkan barisan yang menunggu masih panjang.

Kerana itu di bahu DBKL diletakkan harapan agar lebih banyak rumah PPR dan PA dibina. Sekurang-kurangnya untuk mengurangkan senarai menunggu sekalipun tidak dapat menampung semua permintaan yang sentiasa meningkat.

Selain membantu menyediakan keperluan kediaman golongan B40, KWP tidak mengabaikan golongan M40 yang memerlukan kediaman pada harga sederhana sejajar kemampuan mereka.

Ke arah matlamat ini, KWP melaksanakan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang kemudian dikenali sebagai Residensi Wilayah (RW). Kini ia dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM).

Memetik kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, KWP telah meluluskan pembinaan 62,701 unit RWKM melibatkan 100 projek di seluruh Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 30 September 2021.

Daripada jumlah itu paling banyak ialah di WP Kuala Lumpur, iaitu sebanyak 93 projek. Seterusnya tiga di WP Putrajaya dan baki empat projek di WP Labuan.

Sehingga ini sejumlah 20,472 unit rumah telah siap melibatkan 19,360 unit di Kuala Lumpur dan 1,112 unit di Labuan. Adi difahamkan, masih banyak unit rumah RWKM dibuka untuk jualan dan boleh dipohon melalui portal rasminya.

Kebanyakan projek perumahan yang dimajukan oleh swasta di WP, terutama di Kuala Lumpur, memang tinggi harganya, baik rumah di atas tanah (landed) atau kondominium.

Kerana itu RWKM dilaksana sesuai dengan kemampuan mereka dalam kategori M40. Keutamaan adalah kepada golongan sasar yang memerlukan, dan belum memiliki rumah di Wilayah Persekutuan.

Adi percaya dengan adanya gandingan rumah RWKM dan PPR serta PA akan banyak membantu keperluan tempat tinggal bagi ketegori M40 dan B40.

Kepesatan pembangunan WP menyebabkan permintaan untuk kediaman terus meningkat. Dalam senario ini, sekalipun KWP dan DBKL meluluskan pembinaan rumah harga tinggi, Adi optimis keperluan rumah untuk golongan B40 dan M40 terus diberi perhatian.

Kerana itu Adi berpendapat pihak berkuasa sepatutnya menetapkan agar syarikat pemaju swasta turut melaksanakan tanggungjawab sosial dalam projek-projek perumahan yang mereka laksanakan.

Caranya dengan menetapkan kuota tertentu kepada pemaju berkenaan bagi pembinaan rumah kos sederhana dan rendah di samping rumah mahal yang mereka bina.

Demi merealisasikan sasaran rumah untuk semua, swasta mesti secara agresif turut sama membantu golongan kurang berkemampuan. Jangan hanya menyerahkannya kepada kerajaan sedangkan mereka membuat untung berlipat ganda.

Adi — Teringat rumah di desa – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas