Selebriti

Tok Ram syurga Alyah

- Diterbit 12 Januari 2024 12:00 PM MYT

SAYA akan setia bersamanya hingga ke akhir hayat dalam keadaan susah atau pun senang. Itulah janji diri ini kerana dialah syurga saya,” luah penyanyi Datin Alyah yang kini sedang sibuk menjaga suaminya, Datuk Ramli MS yang diserang gejala Vertigo.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, 43, berkongsi keadaan kesihatan suaminya, pengarah muzik tersohor yang lebih mesra dengan panggilan Tok Ram.

Menurut Alyah, Tok Ram pernah beberapa kali diserang Vertigo sebelum ini namun tidaklah seteruk yang dialami sekarang.

“Kata doktor, Vertigo yang dialami Tok Ram ini disebabkan ada cecair yang tidak seimbang dalam kepala. Ini bukan kali pertama ia menyerang cuma kali ini agak­­ teruk dan disebabkan itulah perlu ke hospital untuk rawatan.

“Dia tidak ditahan di wad seperti mana yang diperkatakan sebaliknya hanya mendapatkan rawatan di hospital dan­ perlu berehat di rumah. Saya turut berkongsi di media sosial agar mereka yang sedang berurusan dengan kami dapat memahami situasi yang sedang berlaku.

“Saya ada urusan luar begitu juga dengan Tok Ram. Apabila dia diserang keadaan tersebut, ada­ kalanya saya tak sempat nak jawab mesej atau panggilan,” katanya.

Menurut Alyah, selepas diperiksa, doktor mengesahkan Vertigo­ tersebut disebabkan beberapa faktor antaranya kurang rehat, banyak berfikir dan tidur yang tidak berkualiti.

“Tak dinafikan, selepas program All Star Gegar Vaganza tamat baru-baru ini, Tok Ram terus fokus kepada banyak acara termasuklah konsert Cakra Khan yang bakal dilangsungkan Februari ini.

“Apabila hari-hari dengar muzik tanpa rehat yang secukupnya, ia sedikit sebanyak mengganggu keseimbangan cecair dalam telinganya. Dia seorang yang kuat bekerja dan mahukan yang terbaik, namun apabila tidak cukup rehat, tak jaga makan dan banyak fikir, Vertigo tu boleh serang bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Dia turut memberitahu, Vertigo yang menyerang suaminya ketika berada di Singapura itu boleh terjadi secara mengejut dan beberapa kali dalam masa sehari.

“Sebelum ini, pernah empat kali dia mengalaminya. Pernah sekali ketika tengah makan dia berasa pening, tidak boleh berjalan dan membuatkannya terduduk seketika. Ia amat bahaya kerana boleh berlaku tiba-tiba sahaja. Sebab itu sekarang saya banyak bawa kereta kerana risaulah kalau ia terjadi ketika dia sedang memandu.

“Sekarang ini saya mahu dia berehat dan saya perlu tegas dalam soal makan dan rehat dia. Kesihatan paling utama kerana ia akan membuatkan dia lebih selesa untuk bekerja,” jelasnya.

Alyah juga akan memastikan Tok Ram mematuhi arahan doktor yang mahukannnya menjaga gaya hidup agar tidak lagi diserang Vertigo.

“Doktor cakap, Tok Ram perlu seimbangkan gaya hidupnya. Dalam bekerja, Tok Ram perlu banyakkan rehat. Memang dia tidur, tetapi dalam fikirannya macam-macam terlintas. Jadi tidur pun kurang berkualiti.

“Tambahan pula sekarang, di rumah ada studio sendiri. Jadi, dia akan bekerja kuat dan lebih banyak masa dihabiskan dalam studio. Isteri mana tak risaukan suami yang sakit. Jadi saya kurangkan aktiviti di luar kerana dia. Kami tiada orang gaji. Apa-apa saya buat sendiri.

“Cuma apabila ada show atau urusan yang tidak dapat dielakkan, Tok Ram benarkan saya pergi. Katanya dia okay sahaja. Tapi saya tetap rasa bimbang dan akan minta tolong saudara mara tinggal di rumah sementara saya di luar.

“Pernah ketika saya sedang menuju ke acara usrah, Tok Ram telefon dan beritahu dia menggigil apabila diserang Vertigo. Saya tak mahu ia berulang lagi,” jelasnya yang rela berkorban apa sahaja demi suami.

Menyentuh soal gaya hidup suaminya, Alyah mengakui Tok Ram pengarah muzik tersebut seorang yang sangat menjaga kesihatan terutamanya dalam soal makan dan minum. Namun, menurut Alyah suaminya itu sangat komited dalam bekerja sehingga lupa untuk berehat.

“Kalau nak dibandingkan dengan saya, rasanya dia jauh lebih bagus dalam menjaga kesihatan. Makanan minuman dia jaga cuma bila bab bekerja ni, kadang-kadang dia tidak dapat kawal kerana terlalu mahukan yang terbaik,” luahnya.

Karipap Cinta Beku

Selain menyanyi, Alyah kini aktif berniaga kuih Karipap Cinta Beku Dapo Alyah. Ternyata kuih kegemaran ramai tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga dia memutuskan untuk meneruskan bisnes tersebut biarpun berdepan kekangan masa.

Karipap sejuk beku yang dihasilkan terdiri daripada tiga jenis karipap iaitu inti kari ayam, kentang telur, daging dan kentang sardin.

“Ini adalah bisnes famili. Kakak saya yang buat karipap homemade ni. Kami tidak mengejar kuantiti sebaliknya lebih mengutamakan kualiti. Alhamdulillah rasanya cukup mendapat maklum balas yang positif.

“Selain itu, bermula Febuari dan bukan Ramadan nanti, saya akan jual kuih bom inti kacang dan begedil udang. Tidak lupa juga, atas permintaan ramai, biskut raya premium juga akan dijual menjelang hari raya nanti,” tambahnya lagi.

Bagi yang ingin mendapatkan hasil air tangan Alyah bolehlah singgah ke laman Instagram @dapoalyah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas