Fokus

Tingkatkan populasi Harimau Malaya

ANAK Harimau Malaya
ANAK Harimau Malaya Hebat (depan) dan Melur yang dijaga dengan baik di Zoo Negara.
- Diterbit 26 September 2019 1:56 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

BAGI memenuhi hasrat kerajaan yang mahukan populasi Harimau Malaya ditingkatkan, Zoologi mengambil pendekatan membiakkan haiwan liar berkenaan bagi mengelakkan ia daripada kepupusan.

Pada masa ini, Zoo Negara, Kuala Lumpur mempunyai tiga ekor anak Harimau Malaya yang berusia empat bulan dan populasi tersebut akan ditambah.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr. Mat Naim Ramli berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat kerajaan dan berusaha menyumbang kepada pertambahan populasi Harimau Malaya di negara ini.

“Sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga amat membantu dalam menjaga dan memulihara Harimau Malaya khususnya di peringkat anak.

“Potensi untuk beranak lagi pada masa akan datang ada dan ia bergantung pada kita. Kalau kita campurkan pasangan, kita boleh dapat lagi sekali gus menambah populasi Si Belang itu.

“Sekarang kita asing untuk kawal pembiakan mereka dan pengasingan sudah lama dilakukan. Di Zoo Negara, harimau kita mudah untuk membiak dan Keyla iaitu ibu kepada tiga ekor anak Harimau Malaya yang baharu ini pun sudah banyak kali beranak,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Menurut Dr. Mat Naim, sebelum ini, Keyla pernah makan anaknya dan pihak Zoologi terpaksa membiarkannya supaya haiwan tersebut dapat belajar cara untuk menjaga anak.

Beliau memberitahu, kelahiran kali ketiga ini berjaya sebab Keyla dapat menjaga anaknya dengan baik termasuk menyusukan zuriatnya.

“Sebelum ini, kawalan pembiakan dilakukan kerana kita sudah ada sembilan ekor dan kos pengurusan serta penjagaan meningkat.

Sekarang, fokus kerajaan adalah Harimau Malaya, kalau tidak ada tempat pun kita minta bantuan Wildlife.

“Wildlife akan ambil dan letak di pusat jagaan. Pembiakan akan diteruskan tetapi dalam pengawalan berperingkat. Pasangan lain pun kita sudah mula campurkan dan kali ini kalau lahir sekiranya ibu tidak jaga kita akan selamatkan anak harimau berkenaan,” jelasnya yang komited mahu meningkatkan populasi Harimau Malaya.

Baginya, populasi dapat ditambah sekiranya penguatkuasaan dilakukan selain pemuliharaan kawasan dan habitat harimau.

Katanya lagi, target populasi dilakukan oleh pihak Wildlife yang mana pada masa ini bilangan Harimau Malaya kurang daripada 200 ekor.

Bercerita lanjut, katanya, populasi haiwan berkenaan di Zoo Negara terkawal kerana fasiliti yang terhad malahan tiga ekor anak harimau tersebut belum mempunyai lokasi sesuai untuk ditempatkan apabila dewasa.

“Mungkin akan dihantar ke zoo lain sebab fasiliti kita kurang. Kandang malam dan pekerja pun hanya mampu untuk menjaga sembilan ekor harimau yang ada, apabila menjadi 12 ekor, jumlah itu sudah macam lebihan.

Setahun dua ini mungkin boleh duduk bersama tetapi apabila berumur lebih dua tahun dia perlu diasingkan.

“Perpindahan bergantung pada keadaan dan permintaan. Biasanya zoo di luar negara mahukan haiwan yang matang, dewasa dan berpasangan, kalau anak pun, ia akan capai umur lebih setahun.

“Anak Harimau Malaya yang ada ini kita akan bela sebab mahu biakkan. Ia akan dibiakkan dengan ibu bapa juga tetapi kita tidak mahu terlalu banyak pembiakan anak beranak berlaku,” jelasnya.

Mengulas tentang peruntukan yang diberikan DBKL khusus untuk penjagaan anak Harimau Malaya selama tiga tahun, Dr. Mat Naim memberitahu, fokus utamanya adalah pembelian sumber makanan dan lebihan akan digunakan untuk memberi suplimen seperti multivitamin atau ubat-ubatan penting antaranya ubat cacing.

Ujar beliau, kos untuk makanan adalah tinggi kerana harimau makan kira-kira enam atau tujuh kilogram daging atau ayam sehari dan harga bagi sekilogram daging adalah RM20.

Ketika disoal sama ada harimau dewasa akan dilepas ke hutan atau tidak, beliau memberitahu, haiwan yang berada dan dibesarkan dalam kurungan tidak dapat berdikari serta berburu untuk mendapatkan makanan.

“Haiwan itu dilahirkan dalam kurungan yang kita bagi makan. Letak ayam hidup pun kadang-kadang dia buat tidak tahu malah arnab hidup yang diletakkan di dalam kandangnya hanya ditampar dan dibiarkan tanpa memakannya.

“Populasi mereka bertambah dalam kurungan di samping konservasi habitat untuk mengawalnya daripada berkurangan. Oleh itu, kita akan pastikan pembiakan berlaku di kurungan ini,” katanya.

Mengulas tentang pengurusan pula, Dr. Mat Naim memberitahu, bagi memastikan keadaan kesihatan anak harimau terjaga, vaksin diberikan mengikut peringkat dan fokus penjagaan ditingkatkan pada usia kurang daripada setahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas