KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga termasuk di bazar Ramadan yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sepanjang bulan puasa ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsuddin berkata, KPDN WPKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
“Nasihat dan amaran akan diberikan kepada para peniaga yang melakukan kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga pada senarai menu atau pada makanan dan minuman untuk jualan.
“Sekiranya terdapat harga yang tidak munasabah dan terlalu tinggi serta didapati berlakunya pencatutan, tindakan tegas terhadap peniaga akan dilaksanakan,” tegas beliau.
Menurut Ariffin, KPDN tidak mengawal kadar harga bagi penjualan sesuatu barangan khususnya yang melibatkan para peniaga di bazar namun akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala.
Ujarnya, kementerian juga akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 ke atas peniaga yang cuba untuk mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal melebihi harga yang telah ditetapkan.
Peniaga yang ingkar boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta gagal meletakkan tanda harga.
Tambahnya, Pegawai Penguatkuasa KPDN WPKL juga akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan (hotspot) di sekitar Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai perubahan dasar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Ariffin mengingatkan semua peniaga yang terlibat atau tidak agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.
“Tindakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.
“Sasaran kategori premis yang diperiksa adalah merujuk kepada premis yang berdaftar dengan SST dan mempunyai nilai ambangnya melebihi RM500,000 setahun dan bukannya premis berskala kecil,” katanya orang ramai harus mengetahui bahawa makanan dan minuman tidak termasuk dalam kategori kenaikan SST.
Dalam pada itu, Ariffin berkata KPDN WPKL juga akan berkerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi kerajaan lain untuk memantau perkara tersebut.
“Semua peniaga juga dinasihatkan agar bertimbang rasa dan menjual pada harga yang berpatutan. Sekiranya harga kos yang diperolehi menurun, peniaga amat digalakkan untuk menjual pada harga yang lebih rendah daripada biasa,” ujarnya. – WILAYAHKU