Berita

DBKL lulus 62 lokasi bazar Ramadan

DBKL akan melaksanakan pemantauan berkala ke atas operasi bazaar sepanjang Ramadan. - Gambar hiasan Facebook PKB
- Diterbit 8 Mac 2024 10:25 AM MYT

SEBANYAK 62 lokasi Bazar Ramadan di bawah seliaan pihak penganjur mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalankan operasi sepanjang Ramadan ini.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan, jumlah keseluruhan petak yang diluluskan di 62 lokasi bazar Ramadan seliaan penganjur membabitkan sebanyak 4,060 petak.

Manakala bagi lokasi bazar Ramadan di bawah seliaan DBKL pula melibatkan dua lokasi iaitu Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Bazar Ramadan di Tempat Letak Kereta (TLK) Taman Tasik Permaisuri.

“Bagi bazar Aidilfitri Lorong TAR, terdapat sebanyak 216 petak penjaja manakala di Bazar Ramadan TLK Taman Tasik Permaisuri pula sebanyak 160 petak penjaja yang akan menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan,” jelas DBKL.

“Kesemua bazar itu dijangka akan beroperasi mulai 12 Mac (Selasa) bersamaan 1 Ramadan 1445H sehingga 9 April 2024.

“Waktu operasi bazar pula adalah tertakluk kepada jenis jualan iaitu bagi bazar melibatkan juadah, waktu operasinya bermula dari pukul 3 petang sehingga 8 malam.

“Manakala untuk jenis jualan barangan kering, waktu perniagaan yang dibenarkan adalah bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 malam,” tulis kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan tindakan kompaun secara serta-merta akan diambil terhadap pemegang lesen yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat pelesenan yang telah ditetapkan.

Katanya, tindakan pemotongan wang cagaran juga boleh dikenakan ke atas pemegang lesen selepas tarikh tamat operasi bazar.

DBKL juga akan melaksanakan pemantauan secara berkala ke atas operasi bazar di bawah seliaan penganjur.

Jelasnya, tindakan seperti kompaun ke atas pemegang lesen, tindakan pemotongan wang cagaran ke atas pihak penganjur akan dikenakan sekiranya pihak berkenaan didapati gagal mematuhi syarat-syarat penganjuran bazar yang telah ditetapkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas