Berita

Tiga lelaki disaman, kenderaan disita

DUA buah jenis Honda Civic dan sebuah jenis Proton Satria Neo disiata kerana disyaki melanggar akta Seksyen 64(1) atau melanggar terma lesen bagi kenderaan motor.
- Diterbit 11 September 2021 7:31 AM MYT

TINDAKAN tiga lelaki warga tempatan mengubahsuai sistem ekzos mengakibatkan bunyi bising, membawa padah apabila kenderaan milik mereka disita oleh Polis Labuan, baru- baru ini.

Ketiga-tiga kenderaan itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Labuan pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, tiga buah kenderaan yang disita adalah dua buah jenis Honda Civic dan sebuah jenis Proton Satria Neo kerana disyaki melanggar akta Seksyen 64(1) atau melanggar terma lesen bagi kenderaan motor.

“Bagi mengelakkan kesalahan sama berulang ketiga–tiga kenderaan bersama pemandu lelaki yang berumur antara 22 hingga 42 tahun dibawa ke balai untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad berkata, kes itu dirujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk ujian dan larangan penggunaan kenderaan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, ketiga-tiga pemandu telah dikeluarkan saman atas kesalahan ubahsuai ekzos di bawah Kaedah 103 LN170/59 dan pemandu motokar jenis Proton Satria Neo turut dikeluarkan saman atas kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati tidak memiliki lesen memandu.

“Jika sabit kesalahan ketiga-tiga pemandu boleh  didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebih enam bulan.

“Manakala bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu boleh dikenakan denda RM300 hingga tidak lebih RM2,000 atau penjara atau kedua duanya sekali,” katanya lagi. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas