Berita

Tiada pihak ketiga dilantik dapatkan maklumat pelanggan Bank Islam

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 13 Februari 2024 2:05 PM MYT

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menegaskan tiada pihak ketiga dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggannya.

Bank Islam dalam kenyataan memaklumkan sebarang perubahan pada butiran dan akaun perbankan pelanggan hanya menerusi platform rasminya termasuk Perbankan Internet Bank Islam (www.bankislam.biz), aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau GO Biz by Bank Islam dan Be U by Bank Islam.

Selain itu, sebarang muat turun juga perlu dilakukan daripada gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple Apps Store.

Sehubungan itu, Bank Islam mengingatkan orang ramai supaya sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun daripada kaedah penipuan (scam) yang melibatkan pancingan data (phishing) dan perisian hasad (malware).

“Pancingan data adalah amalan menghantar e-mel atau mesej secara dalam talian daripada pihak yang menyamar sebagai syarikat yang sah agar pengguna mendedahkan maklumat peribadi seperti kata laluan, nombor akaun, kad kredit dan debit serta pelbagai butiran penting lain.

“Perisian hasad direka khas untuk mendapatkan maklumat, merisik, mengawal dan menyerang peranti peribadi pengguna seperti telefon dan jam pintar, tablet serta komputer. Penjenayah akan memasukkan perisian hasad ke dalam peranti menggunakan aplikasi yang mereka bangunkan. Kebiasaannya ia kelihatan seumpama aplikasi yang sebenar bagi mengaburi pertimbangan pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Bank Islam turut menyeru orang ramai agar tidak menyimpan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam pelayar (browser) laman sesawang mereka.

Menurut kenyataan itu pelanggan boleh mengamalkan kawalan kendiri untuk melindungi diri daripada pancingan data dan perisian hasad dengan mengambil beberapa langkah antaranya tidak mendedahkan butiran peribadi dan akaun serta kata laluan dengan pihak ketiga, menggunakan fungsi pengesahan dua faktor (two factor authentication) bagi memastikan keselamatan aplikasi dan menukar kata laluan secara berkala.

“Pengguna juga perlu sentiasa berwaspada apabila terdapat aplikasi yang meminta kebenaran akses, jangan klik atau memuat turun teks atau e-mel yang mengandungi pautan yang tidak dikenali atau sah. Memuat turun dan mengemas kini aplikasi antivirus, serta memantau akaun dan penyata bagi mengesan sebarang aktiviti perbankan yang mencurigakan atau tidak disahkan,” katanya.

Bank Islam memaklumkan pihaknya mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan akaun deposit dan transaksi pelanggan yang selamat, di samping melaksanakan pengawasan keselamatan dan pengawalseliaan yang mematuhi standard industri.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-2690 0900 atau e-mel [email protected] serta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya akaun mereka disyaki telah dicerobohi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas