Berita

Tiada kompromi pihak sentuh polemik kaum

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 21 Mac 2024 9:24 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) tidak akan berkompromi terhadap pihak yang mencetuskan polemik perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam menyatakan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengancam perpaduan rakyat.

Katanya, jika didapati mana-mana individu atau pihak membuat tindakan sedemikian, ia boleh disabitkan kesalahan di bawah undang-undang yang berkenaan seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dalam soal ini, semua pihak seharusnya menghormati dan mendukung Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai ramuan perpaduan negara.

“Rukun Negara adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia. Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni.

“Justeru, saya berharap agar semua pihak dapat menyebarluas prinsip asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia,” jelas beliau dalam kenyataan.

Menurut beliau, KPN bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga sedang meneliti dan akan mengangkat cadangan Piagam Harmoni yang mampu menjadi panduan untuk membina negara yang aman dan harmoni seterusnya menatijahkan kemakmuran seperti dihasratkan dalam konsep Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas