Berita

Tiada kompaun dikeluarkan hari pertama OP HAD 2J – KPDNHEP

KETUA Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata penetapan had masa dua jam ditetapkan untuk membantu mencapai objektif kerajaan iaitu untuk mengurangkan keberadaan orang ramai di luar. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 27 Mei 2021 8:22 AM MYT

HARI pertama operasi had maksimum dua jam (OP HAD 2J) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyaksikan tiada kompaun dikeluarkan kepada mana-mana pelanggan semasa pemeriksaan semalam.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata dalam operasi semalam, sebanyak 42 kompleks perniagaan di seluruh negara diperiksa oleh Pegawai Penguatkuasa.

“Seramai 3,190 pengunjung telah diperiksa MySejahtera untuk menentukan mereka tidak berada melebihi dua jam maksimum yang ditetapkan.

“Tempoh paling singkat yang dikesan adalah selama 15 minit manakala tempoh paling panjang ialah dua jam empat minit,” katanya pada sidang media dalam talian melalui Facebook rasmi KPDNHEP, hari ini.

Hasnol Zam Zam berkata pemeriksaan semalam banyak tertumpu kepada kompleks perniagaan besar yang berpotensi untuk menjadi tempat tumpuan orang ramai.

Beliau berkata OP HAD 2J akan diteruskan termasuk pemeriksaan ke atas premis-premis lain seperti pasar malam, pasar tani, pasar basah, premis-premis runcit, kedai serbaneka dan lain-lain.

Hasnol Zam Zam berkata penetapan had masa dua jam ditetapkan untuk membantu mencapai objektif kerajaan iaitu untuk mengurangkan keberadaan orang ramai di luar.

“Kita mengharapkan dengan masa dua jam ini, pelanggan atau pengguna dapat merancang aktiviti mereka dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai rekod kemasukan pelanggan, beliau berkata penggunaan buku rekod hanya dibenarkan untuk kawasan yang ada masalah liputan Internet dan pelanggan yang tidak memiliki telefon pintar sahaja.

Beliau berkata dalam pemeriksaan semalam ke atas 2,541 premis bagi memastikan kepatuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), KPDNHEP telah mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM11,500 iaitu RM10,000 ke atas peniaga kerana gagal menggunakan aplikasi MySejahtera dan menyediakan buku rekod pendaftaran kemasukan manakala RM1,500 kepada seorang pelanggan yang tidak menggunakan MySejahtera.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pemerhatian secara menyeluruh mendapati pelanggan mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal, pematuhan had masa dua jam dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran untuk aktiviti perkhidmatan pemasangan dan servis penyaman udara di rumah pelanggan, Hasnol Zam Zam berkata SOP menetapkan perkara itu tidak dibenarkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita tak nak ada pihak lain masuk di dalam premis yang boleh meningkatkan risiko kepada kedua-dua belah pihak. Kalau kita beli dari kedai pun kita tak benarkan pemasangan dibuat,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas