KUALA LUMPUR – Kerajaan harus menetapkan prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan khas sebelum memberi kebenaran kepada premis gunting rambut beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah berkata, pihaknya yakin dengan cara ini, keselamatan pelanggan dan pendandan rambut terjamin.
“Susulan pihak kerajaan bersedia membenarkan kedai gunting rambut dibuka kepada awam sepanjang PKP, saya menyambut baik usaha ini.
“Malah rakyat melihat ia satu keperluan, namun ada juga kegusaran disuarakan.
“Ia berikutan penjarakan sosial yang tidak dipatuhi ketika mengunting rambut, dipersoal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Murugiah menyarankan pengunting rambut atau pendandan rambut memakai penutup hidung dan mulut semasa mengunting rambut pelanggan.
“Amat sesuai jika pemakaian pendandan rambut menepati seperti kakitangan hospital yang merawat pesakit Covid 19.
“Saya juga menyarankan supaya semua peralatan seperti gunting dan sikat serta lain-lain lagi dicuci menggunakan bahan kimia yang sesuai untuk membunuh kuman,” ujarnya.
Kata beliau lagi, pengunting juga disaran mencuci tangan menggunakan hand sanitizer sebelum dan selepas proses mengunting rambut.
Langkah itu bagi memastikan kebersihan masih dikekalkan walaupun penjarakan 1 meter telah berkurangan, katanya.
“Moga kita menang memerangi Covid 19 dan rantaian virus ini dapat ditamatkan,” katanya. – WILAYAHKU