Berita

Terumbu karang, khazanah tidak ternilai

ANTARA penyelam yang terlibat dalam kerja penanaman terumbu karang.
ANTARA penyelam yang terlibat dalam kerja penanaman terumbu karang.
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:30 AM MYT

MALAYSIA mempunyai banyak pulau yang indah dan mempesonakan terutama di kawasan kepulauan Borneo dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Pulau-pulau ini sudah dikenali malah menjadi destinasi utama pelancong kerana kaya dengan khazah alam semulajadi yang tidak ternilai harganya.

Atas faktor tersebut, Kelab Legasi Selam Skuba Malaysia atau dikenali sebagai Leges Divers yang ditubuhkan pada tahun 2017 aktif di dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan dalam pemuliharaan pulau-pulau di Malaysia.

Melihat keadaan semasa pantai dan terumbu karang yang semakin rosak, bermula pada bulan Januari sehingga November 2017 bertempat di Salang, Pulau Tioman, Pahang pihak Leges Divers telah melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk Program Pembersihan Pantai dan Dasar Laut.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah reef monitoring, reef rehabilitations, beach & underwater cleanup, sinking old ships, COT (crown of thorn) removal, save the turtle, visual observation, coral restoration, identifying new dive sites, awareness on divers insurance dan educating divers as reef ambassadors.

Kelab Leges Divers turut merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diterbitkan pada 8 Oktober 2018 tentang perubahan iklim yang bernaung di bawah Kesepakatan Iklim Paris PBB.

Di dalam laporan tersebut ada mengatakan Bumi akan mengalami kenaikan suhu global melewati ambang minimum yang ditetapkan iaitu 1.5 darjah celsius pada awal 2030.

Pemanasan global akibat kenaikan suhu ini akan mempercepatkan risiko kekeringan yang ekstrem, kebakaran hutan, banjir dan kekurangan makanan untuk ratusan juta orang.

Malaysia juga tidak lari dari fenomena ini apabila pada awal tahun 2019 negeri-negeri di sebelah utara mengalami kepanasan melampau sehingga 37 darjah celsius.

Ini adalah antara salah satu sebab program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk pemuliharaan pulau-pulau di Malaysia dijalankan.

Pihak Leges Divers berharap program ini dapat meningkatkan tahap kesedaran sivik masyarakat mencegah pemanasan global.

Tujuan utama pemuliharaan pantai ini dijalankan adalah untuk rehabilitasi terumbu karang dengan menggunakan kaedah tukun kerangka di kawasan-kawasan yang terpilih bagi menjaga ekosistem dan seterusnya meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Selain itu, kelab ini juga giat untuk melahirkan “Reef Ambassadors” dalam kalangan penyelam skuba dari golongan muda agar dapat memastikan ekosistem di negara ini tidak tercemar oleh aktiviti manusia dan menghargai warisan negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas