SETELAH lebih setahun menjalani kehidupan berstatus duda, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengakui sudah bertemu cinta baharu.
Namun, pemilik nama lengkap Datuk Afdlin Shauki Aksan, 52, tidak mahu terlalu terbuka bercerita tentang kekasihnya itu sehinggalah tiba pada waktu yang sesuai untuk diumumkan.
“Apa yang saya boleh cakap, saya dan dia serasi. Keserasian yang saya maksudkan adalah banyak perkara yang kita lakukan bersama, minat pun yang sama dan yang paling penting adalah dari segi agama.
“Kita sama-sama belajar agama dan dia seorang yang memahami tanggungjawab isteri yang disarankan dalam Islam.
“Tentang perancangan kahwin tu, Insya-Allah apa-apa saya akan beritahu,” katanya yang masih berkawan baik dengan bekas isteri, Datin Maria Christina Orow Abdullah.
Walaupun sudah tidak bergelar suami isteri, mereka tetap berkawan baik demi anak-anak.
Afdlin dan Maria mendirikan rumah tangga pada 1997 dan berpisah pada April tahun lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.
Anak sulung mereka, Mia Sara kini mengikut jejak langkah Afdlin sebagai pelakon. Antara drama lakonannya adalah Histeria The Series.

Menyentuh soal kerjayanya sebagai pelawak, Afdlin akui perbezaan pelawak dulu yang muncul di televisyen dan sekarang lebih meluas di platform media sosial.
“Televisyen adalah satu aktiviti di mana keluarga akan sentiasa perlukan. Bila ada satu masa, keluarga akan duduk depan televisyen bersama-sama.
“Tapi apabila kita keluar menjalani kehidupan seharian, kita akan pegang telefon sahaja. Di sini nampak berlakunya perubahan tetapi tidaklah televisyen itu tidak diperlukan langsung.
“Daripada dahulu orang dah boleh buat lawak, cuma ketika itu tiada telefon. Berbeza sekarang ini orang lebih berani dan cuba mempertontonkan lawak mereka dalam media sosial. Cuma persoalannya, adakah betul-betul lawak atau perasan lawak, itu adalah suatu perkara yang lain pula,” ujarnya yang baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi YWP Media yang menerbitkan akhbar dan portal Wilayahku. – WILAYAHKU