Berita

Tenang di Taman Burung Labuan

||||||||
- Diterbit 28 Jun 2019 5:56 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto Arkib Taman Burung Labuan

KICAUAN burung yang mengasyikkan dan mendayu-dayu menyambut kedatangan pengunjung ke Taman Burung Labuan ini.

Suasana yang tenang dan mendamaikan ini membuatkan anda pasti melupakan seketika masalah dan leka melihat telatah hidupan ini yang sinonim dengan kehidupan manusia.

Menurut Penolong Pegawai Veterinar, Taman Burung Labuan, Hasliza Chuchu, menyelusuri sejarah awal Taman burung ini, pembinaan taman bermula pada tahun 1995 dan siap sepenuhnya pada tahun 1997.

“Taman Burung Labuan dibuka untuk pengunjung pada tahun 1999 dan taman ini telah dirasmikan pada 4 Ogos 2003 oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharif Omar ketika itu,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Menurut Hasliza, taman tersebut menempatkan kira-kira lebih 500 unggas yang ada di Taman Burung Labuan yang terdiri daripada 32 spesies Eksotik dan 38
spesies Borneo.

“Antara spesies yang ada ialah, Storm Stork, Christmas
Frigatebird, Crowned Crane, Merak Biru, African Grey Parrot, Tiong Emas, Merpati Emas, burung enggang dan banyak lagi.”

“Ada di antara unggas yang berada di bawah kawalan kami ini merupakan spesies tempatan, dan ada juga yang diimport dari luar negara.

Hasliza berkata lagi, antara spesies paling unik yang terdapat di taman burung tersebut adalah Storm Stork & Christmas Frigatebird.

“Storm Stork adalah sejenis unggas daripada keluarga bangau dan bersaiz sederhana yang terdapat terutamanya di hutan tropika rendah di Indonesia, Malaysia dan selatan Thailand.

“Ia dianggap spesies paling jarang ditemui dalam keluarga bangau, dan dianggarkan kurang daripada 500 haiwan yang liar di seluruh julat geografinya.

“Frigatebird Krismas, atau Frigatebird Pulau Krismas, adalah burung laut dari keluarga Frigatebird Fregatidae yang hanya boleh didapati di Pulau Krismas dekat Lautan Hindi.

Frigatebird Krismas merupakan burung laut yang besar
dan mempunyai bulu yang berwarna kecoklatan, sayapnya sempit panjang dan ekornya bercabang”
katanya lagi.

Menurut Hasliza lagi, selain daripada spesies burung unik yang terdapat di sini, terdapat beberapa tarikan lain di sekitar kawasan ini yang merupakan sebahagian
daripada kawasan hutan simpan tropika.

“Kawasan hutan simpan tropika meliputi keluasan kira-kira 4 hektar dari keluasan keseluruhan taman ini.
“Di dalam hutan tropika terdapat banyak pokok-pokok besar, flora dan fauna, serangga dan unggas-unggas yang berkeliaran.

Untuk kemudahan kepada pengunjung dan pelancong,
taman ini menyediakan laluan hutan sejauh kira-kira satu kilo meter dan mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan,” katanya lagi.

Jelas Hasliza lagi, terdapat juga kemudahan yang disediakan untuk pengunjung iaitu ruang parkir kenderaan yang luas, taman permainan, kedai
cenderahati.

“Selain itu, terdapat juga beberapa gerai makanan dan minuman, surau dan pondok riadah untuk pengunjung berehat seketika,” katanya lagi.

Menurut Hasliza lagi, Taman burung Labuan merekodkan kehadiran seramai 36,684 orang pengunjung sepanjang tahun 2018.

“Kami menjangkakan akan menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini kerana pelbagai program dan promosi yang dilaksanakan untuk memperkenalkan Taman Burung Labuan ini kepada orang ramai,” katanya lagi.

Kata Hasliza lagi, terdapat beberapa pihak yang telah menganjurkan acara Larian Amal Taman Burung Labuan baru-baru ini sebagai tujuan untuk mempromosikan tempat ini.

Selain itu, terdapat juga Festival Taman Burung Labuan, aktiviti pelepasan burung ke habitat asal, aktiviti pemuliharaan burung dan menjadikan Taman Burung Labuan sebagai venue untuk orang awam
menganjurkan pelbagai aktiviti dengan harga yang berpatutan.

Dengan pelbagai aktiviti yang menarik, anda pasti tidak akan rugi malah ianya merupakan kembara yang berbaloi, selain menikmati kicauan burung, anda pasti
tidak akan melupakan kenangan yang terpahat di sini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas