Berita

Tempoh lesen percuma, sewaan premis dilanjutkan sehingga 31 Julai

|||
- Diterbit 4 Mac 2021 12:26 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) mengumumkan untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen perniagaan secara percuma dan diskaun sewaan premis milik agensi dibawahnya sehingga 31 Julai ini

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira aktiviti perniagan yang kurang memberangsangkan yang dihadapi oleh golongan peniaga di ibu kota ekoran orang ramai terpaksa berbelanja berikutan pembukaan sekolah selain persiapan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya dalam masa terdekat.

“Walaupun banyak aktiviti perniagaan telah dibuka dan banyak aktiviti telah dibenarkan dan kita telah berhijrah dari situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun secara keseluruhan penjaja dan peniaga kecil masih lagi bergelut dengan perniagaan yang sedikit malap berbanding dengan keadaan biasa,”

“Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menanggung kesusutan dari segi hasil, tetapi kita merasakan perlu melanjutkan tempoh pemberian lesen percuma melalui program Wilayah Bebas Berniaga (WBB), memperbaharui lesen secara percuma.

“Mereka yang menyewa premis-premis PBT di bawah KWP boleh meneruskan perniagaan secara percuma sementara yang menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibawah KWP dan DBKL perlu membayar hanya separuh sahaja sewa yang mereka membayar dalam keadaan biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Program Sumbangan MYBeras@Wilayah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis (CP) Datuk Saiful Azly Kamaruddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Menurut Annuar, langkah tersebut dapat memberi manfaat kepada 40,000 penyewa rumah PPR dan 10,000 peniaga dan penjaja selain kira-kira 5,000 peniaga yang terlibat di dalam program WBB.

Terdahulu, Annuar mengumumkan Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 pada September tahun lalu yang bertujuan untuk untuk membantu warga kota terutama golongan B40 yang terjejas ekoran PKP dan antara lain, ia turut memberikan diskaun sewaan premis milik DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) selain pembaharuan lesen perniagaan percuma.

Selain itu, Annuar pada 15 November tahun lalu mengumumkan Inisiatif WBB yang membenarkan penduduk Wilayah Persekutuan berniaga termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan sehingga 15 April ini.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu pihaknya melalui mesyuarat Pusat Pengurusan Krisis (CMC) akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan pembukaan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

“Keputusan itu bergantung kepada sejauh mana orang ramai dan penjaja dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pada masa ini.

“Kita harus faham bahawa masih belum keluar dari situasi ini walaupun program suntikan vaksin COVID-19 sudah bermula, namun kepatuhan terhadap SOP masih perlu dipertingkatkan,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 2,000 permohonan dan kita bercadang sekiranya mendapat persetujuan MKN untuk mengizinkan kira-kira bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas